Keadaan kemusnahan bangunan di perkampungan penduduk Palestin. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Israel didakwa cuba singkir penduduk Palestin

RAMALLAH, 5 OGOS : Perdana Menteri Palestin Mohammad Ishtaye pada Ahad menuduh Israel mencari jalan untuk menyingkirkan penduduk Palestin dari Baitulmaqdis, lapor agensi berita China Xinhua.

Kenyataan Ishtaye dibuat semasa pertemuan di Ramallah dengan penduduk kejiranan Wad el-Hommos di Sur Baher, tenggara Baitulmaqdis, di mana pihak berkuasa Israel telah memusnahkan kediaman mereka hampir dua minggu lalu.

“Apa yang berlaku di Wad el-Hommos adalah satu jenayah dahsyat yang tidak boleh kita terima,” kata Ishtaye sambil menambah bahawa “Israel sedang mencari jalan untuk menyingkirkan penduduk Palestin dari bandar (Baitulmaqdis) berdasarkan pelan Baitulmaqdis 2020.”

Beliau berkata “pelan Israel ini bagi tahun depan berhasrat menjadikan penduduk Palestin di Baitulmaqdis hanya mewakili 19 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di seluruh bandar.”

Ishtaye menuduh rejim itu tidak menghormati atau mematuhi mana-mana perjanjian damai yang dimeterai antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sambil menambah “Israel menganggap semua tempat di Tebing Barat sebagai kawasan (C).”

“Oleh itu, kami akan menganggap semua tempat di Tebing Barat sebagai kawasan (A),” kata Ishtaye, yang telah berbincang dengan pemilik kediaman yang dimusnahkan mengenai langkah-langkah agar Israel bertanggungjawab “untuk jenayahnya.”

-BERNAMA


Pengarang :