BERITA UTAMA

JPJ buka bidaan nombor pendaftaran kenderaan JTR

JOHOR BAHRU, 20 OGOS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menyasarkan jumlah kutipan bidaan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan baharu ‘JTR’ bernilai lebih RM1 juta apabila bidaan menerusi system JPJebid itu dibuka kepada orang awam selama lima hari bermula jam 12 tengah malam ini.

Pengarahnya, Razali Wagiman berkata, sasaran tersebut boleh dicapai menerusi penggunaan sistem JPJeBid itu yang pertama kali diperluaskan pelaksanaan di Johor bagi menggantikan sistem manual yang digunakan sebelum ini.

Beliau berkata, menerusi JPJebid ini, setiap individu boleh membida walaupun berada di luar Johor dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan penduduk tetap berumur 18 tahun ke atas serta perniagaan atau syarikat yang berdaftar di negara ini.

“Bagi yang pertama kali menggunakan sistem ini, mereka perlu mendaftar di dalam portal JPJeBid dan bagi orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod dalam sistem mySIKAP seperti rekod kenderaan, lesen atau saman pula dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dahulu di mana-mana pejabat JPJ negeri dan cawangan JPJ kecuali di UTC.

“Kaedah bayaran bidaan pula ialah dengan menggunakan kad kredit atau kad debit tempatan sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.

Razali berkata, pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM10 bagi setiap nombor yang dibida namun setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan manakala bagi perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan.

Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata, setakat ini, RM15.6 juta telah dikutip sejak sistem itu dilaksanakan dan Putrajaya mencatat kutipan tertinggi sebanyak RM3.1 juta diikuti Wilayah Persekutuan sebanyak RM1.5 juta.

Selain itu, sebanyak 57,165 pendaftaran JPJeBid direkodkan setakat ini dan bilangan pendaftaran itu dijangka bertambah dengan pelaksanaannya yang akan diperluas ke seluruh negara sehingga akhir tahun ini.

Untuk rekod, bidaan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan paling tinggi direkodkan di negeri ini adalah JJJ 1 yang menerima bidaan tertinggi bernilai lebih RM150,000 dan bidaan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan JTM mencatatkan jumlah kutipan sebanyak RM996,000 diikuti JTN RM941,000 dan JTP RM903,000.

Bidaan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan baharu ‘JTR’ itu akan berakhir pada 25 Ogos 11.59 malam dan keputusan bidaan akan diumumkan pada 26 Ogos.

Sekiranya pembida menghadapi sebarang masalah sepanjang tempoh bidaan ini berlangsung, mereka boleh membuat laporan ke [email protected] atau menghubungi talian 07-360 6012.

– BERNAMA


Pengarang :