AGENDANASIONAL

Kastam bongkar pusat buat minuman keras tiruan

ALOR SETAR, 15 OGOS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah membanteras aktiviti pembotolan minuman keras tiruan yang menggunakan setem JKDM palsu dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Dahlia, Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu.

Pengarahnya, Datuk Johari Alifiah berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota kastam cawangan Alor Setar yang menjalankan serbuan turut menjumpai setem Duty Paid sebanyak 32,904 keping dan setem Duty Not Paid sebanyak 800 keping yang disyaki palsu.

“Kami juga merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti ini seperti botol, tudung minuman keras, pelekat label minuman keras pelbagai jenama dan setem cukai kastam yang digunakan untuk dilekat pada botol minuman.

“Seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun yang berada di dalam premis semasa serbuan juga, telah ditahan. Turut dirampas 23 botol yang telah diisi dengan minuman tiruan dan dua bekas methanol yang setiap satunya seberat lima kilogram,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, serbuan itu merupakan rentetan daripada kes pertama yang berjaya dipatahkan pada 12 Mac lalu di kawasan Perindustrian Hi-Tech Semenyih, Selangor yang menjadi tempat pemprosesan minuman keras tiruan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Eksais 1976 kerana menyuling, menapai atau mengilang barang-barang berduti tanpa lesen dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 74 akta yang sama.

“Kami mohon orang ramai sekiranya ada maklumat mengenai jenayah penyeludupan untuk salurkan maklumat dengan menghubungi talian bebas tol Kastam di 1800-88-8855 atau pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :