BERITA UTAMA

Kerajaan tumpu usaha tingkat pendapatan rakyat sejak RMK-5

TUMPAT, 24 OGOS: Kerajaan menumpukan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejak Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5), kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, antara dasar yang diperkenalkan kerajaan pada waktu itu adalah meningkatkan pendapatan dan mengurangkan inflasi supaya rakyat dapat menggunakan wang dengan lebih baik.

“Sama ada suka ataupun tak, kalau dibandingakn dengan dulu sampai sekarang, rakyat lebih selesa daripada dulu. Dulu mana jalan macam sekarang. Dulu mana ada titi (jambatan) macam sekarang.

“Dulu kita naik basikal sekarang semua naik kereta, takkan tak ada kemajuan? Mesti ada kemajuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh (Kenduri) Rakyat anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Pantai Geting di sini, hari ini.

Turur hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin; Pengerusi Eksekutif SSM, Datuk Nordin Salleh; Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
 
Daim mengulas mengenai dakwaan yang dibuat pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kadar kemiskinan di negara ini.

Pelapor Khas PBB berhubung kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston sebelum ini dilaporkan berkata angka rasmi berkenaan kemiskinan di negara ini sebahagian besarnya tidak tepat dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Alston dipetik sebagai berkata angka rasmi bergantung kepada langkah lapuk dengan garis kemiskinan kekal di tahap sama selama beberapa dekad walaupun kos kehidupan yang semakin tinggi.

Ditanya berhubung khabar angin berkenaan pertukaran portfolio beberapa menteri dalam masa terdekat, Daim berkata perkara berkenaan perlu dirujuk kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, pada masa sama beliau meminta masyarakat supaya terus memberikan maklumbalas terhadap prestasi wakil rakyat yang dipilih mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

-BERNAMA     


Pengarang :