Tunjuk perasaan di Hong Kong turut menjejaskan lapangan terbang di negara itu. Foto /AFP
AGENDAGLOBAL

Korea Selatan sambung penerbangan ke Hong Kong

SEOUL, 13 OGOS: Syarikat penerbangan Korea Selatan pada Selasa menyambung semula perkhidmatan mereka ke laluan Hong Kong susulan penutupan sebuah lapangan terbang tempatan sehari sebelum itu selepas diceroboh penunjuk perasaan yang membantah rang undang-undang yang membolehkan suspek diekstradisi ke tanah besar China, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian pengangkutan di sini.

Pada Isnin lalu, pihak berkuasa penerbangan Hong Kong mengeluarkan notis yang menyebut bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong akan ditutup dari jam 5.30 petang hingga jam 9 pagi hari berikutnya selepas beribu-ribu penunjuk perasaan pro-demokrasi menceroboh terminal utama lapangan terbang itu.

“Syarikat penerbangan menyambung semula perkhidmatan di lapangan terbang Hong Kong pada pukul 7 pagi ini iaitu beberapa jam lebih awal berbanding yang diumumkan sebelum ini oleh pihak berkuasa tempatan. Semua penerbangan yang dijadualkan kini beroperasi,” kata seorang pegawai kementerian.

Dua puluh tiga penerbangan, 10 oleh syarikat penerbangan domestik dan 13 oleh syarikat penerbangan asing, yang menghala ke Hong Kong dari lapangan terbang di Korea telah terjejas susulan pencerobohan itu.

Syarikat penerbangan tempatan merancang untuk menyediakan penerbangan alternatif kepada kira-kira 1,000 rakyat Korea yang penerbangan pulang mereka dibatalkan pada Isnin, katanya.

Tindakan penunjuk perasaan menceroboh lapangan terbang itu menyebabkan operasi antara lapangan terbang paling sibuk di Asia terganggu selepas berlaku pertempuran ganas dengan polis pada hujung minggu.

-BERNAMA


Pengarang :