Kebanyakan bas sekolah di Jammu belum beroperasi sepenuhnya walaupun sekolah-sekolah sudah dibuka semula pada 19 Ogos 2019. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Lebih 200 sekolah di Jammu, Kashmir dibuka semula

ANKARA, 20 OGOS: Lebih 200 buah sekolah di Jammu dan Kashmir yang sebelum ini ditutup telah dibuka semula, kata Duta Besar India ke Turki, Sanjay Bhattacharyya.

Bercakap pada sidang akhbar, beliau berkata, ia dibuka susulan sekatan yang dikurangkan secara beransur-ansur bagi membolehkan orang ramai menjalankan aktiviti harian.

“Sudah tentu semua pejabat kerajaan dibuka, semua perkhidmatan awam beroperasi… Sepanjang hujung minggu lalu, talian telefon dibuka semula. Hari ini, lebih 200 buah sekolah dibuka semula di Srinagar,” kata Bhattacharyya pada Isnin lapor agensi berita Anadolu.

Jammu dan Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam terjerumus ke kancah ketegangan sejak 5 Ogos lalu, susulan langkah India membatalkan status istimewa Jammu dan Kashmir yang membolehkan penduduknya menggubal undang-undang mereka sendiri dan menghalang orang luar menetap di wilayah itu.

Pemimpin dan penduduk Kashmir gusar andai usaha itu merupakan percubaan India untuk mengubah demografi negara.

Bhattacharyya berkata, keputusan kerajaan India itu adalah untuk meningkatkan tadbir urus yang baik.

Tambah beliau, ia bertujuan untuk menyediakan keadilan sosio ekonomi di kawasan yang kurang maju dengan membatalkan Perkara 370 perlembagaan yang memberikan autonomi kepada Jammu dan Kashmir.

“Pindaan kepada Perkara 370 adalah urusan dalaman India,” kata Bhattacharyya, sambil menambah wilayah itu telah dikawal selia menerusi pelbagai kaedah sejak 1953 dan paling baharu pada 2014.

Beliau mengatakan pemansuhan itu adalah proses biasa.

– BERNAMA


Pengarang :