PBTSELANGOR

PeBT MPS Zon 2 juara Piala YAB Amirudin Shari

GOMBAK, 6 OGOS: Akademi Bola Sepak Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 2 muncul juara Piala Yang Amat Berhormat Amirudin Shari edisi kedua bawah 12 tahun yang berlangsung di Kampung Melayu Wira Damai, Sungai Tua, di sini, Ahad lalu.

Dalam perlawanan akhir penuh dramatik, pasukan PeBT MPS Zon 2 berjaya mengalahkan Tasek Dragon (FC) dengan penentuan sepakan penalti 3-2.

Pengerusinya, Sufian Amri berkata, pemain dapat mengawal permainan dengan baik dan beraksi cemerlang walaupun dalam keadaan cuaca yang berubah-ubah.

“Pada perlawanan suku akhir, pasukan kami perlu bergelut di padang lecak sehingga terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti, tetapi penjaga gol dapat menyelamatkan tendangan penalti terakhir.

“Pasukan kami berjaya ke pusingan separuh akhir dan menjaringkan dua gol seterusnya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Beliau turut melahirkan rasa teruja dan terharu dengan kesungguhan ditampilkan pemain sepanjang mengharungi perlawanan sehingga mampu mencipta kejayaan itu.

“Tahniah buat orang penting akademi ini iaitu Jurulatih Mohd Anas Abdul Rahman dan Suraya Hani Abdullah serta ibu bapa kerana memberi semangat, selain bertungkus lumus mempersiapkan pasukan bawah 12 tahun dalam prestasi terbaik untuk kejohanan edisi kali ini.

“Tahniah juga buat pihak penganjur PeBT MPS Zon 6 kerana penganjuran hebat kali ini dan semoga diteruskan untuk ke edisi seterusnya,” katanya.

Lebih membanggakan, penjaga gol akademi berkenaan, Muhammad Adinie Hani Mohd Amizi turut dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik.

Kejuaraan itu melayakkan PeBT MPS Zon 2 membawa pulang wang tunai RM1500 sebagai Johan, manakala penjaga gol terbaik diberi sagu hati RM100.


Pengarang :