Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perbicaraan kes 1MDB Najib ditangguh 26 Ogos

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Perbicaraan berprofil tinggi yang dinanti-nantikan membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ia termasuk 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama, ditangguhkan sehingga Isnin depan (26 Ogos).

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan kes 1MDB Najib, juga dikenali sebagai perbicaraan ‘1MDB-Tanore’ yang dijadual bermula hari ini, selepas membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kerana pihak pendakwaan baru menyerahkan 15 berkas dokumen dan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan.

Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, berkata ia juga untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd diselesaikan terlebih dahulu.

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC hampir menamatkan kes itu dengan saksi terakhir pendakwaan masih belum selesai memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; bulan September dan Oktober kecuali pada Jumaat; dan dua minggu pertama November bagi perbicaraan kes 1MDB bekas perdana menteri itu.

Pihak pendakwaan telah memohon supaya perbicaraan itu ditangguhkan bagi kali keempat untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC Najib.

Pada  18 Julai, Hakim Justice Sequerah menolak notis usul pendakwa raya untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Pada 8 Julai, Hakim Sequerah menolak permohonan lisan Peguam Negara  Tommy Thomas untuk menangguhkan kes  1MDB yang dijadualkan pada 19 Ogos sehingga kes  SRC diselesaikan.

Pada 30 April, pihak pendakwaan memfailkan usul pertama untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB yang telah ditetapkan selama  14 hari dari 15 April hingga  3 Mei. Hakim membenarkan permohonan itu dan menjadualkan semula kes berkenaan dari  14 Mei hingga 21 Jun.

Pada 2 Mei, pihak pendakwaan memohon satu lagi penangguhan menerusi permohonan lisan. Mahkamah membenarkan penangguhan itu dan menjadualkan semula perbicaraan kepada 19 Ogos.

Pada 20 September  2018,  Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah  RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan  21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Najib, yang diwakili sepasukan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua  25 pertuduhan itu dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mengenai empat pertuduhan rasuah,  Najib didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan  19 Dis 2014 mengikut Seksyen  23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga  20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara  22 Mac 2013 dan  30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :