Mangsa ribut menutup peralatan rumahnya dengan kanvas apabila bumbung rumahnya diterbangkan dalam satu kejadian angin kencang malam tadi di Kampung Kuala Juru. -fotoBERNAMA
BERITA UTAMA

Persiapan raya mangsa ribut musnah

BUKIT MERTAJAM, 10 OGOS: Enam keluarga di Kuala Juru, di sini akan menyambut Hari Raya Aidiladha esok secara ala kadar selepas semua persiapan dan rumah mereka rosak berikutan bumbung kediaman masing-masing diterbangkan ribut malam tadi malah mereka terpaksa berpindah ke Masjid Kuala Juru dan Dewan KAFA yang dijadikan pusat penempatan.

Enam keluarga melibatkan 32 mangsa terpaksa berpindah di kedua-dua pusat penempatan itu selepas rumah mereka dimasuki air hujan yang lebat.

Mangsa ribut, Romlan Latif,40-an, menyifatkan kejadian ribut malam tadi sebagai luar biasa dan paling kuat sejak berpuluh tahun beliau tinggal di kawasan itu sehingga menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke penempatan sementara.

Beliau bersama enam anggota keluarganya sedang berehat sambil menonton televisyen sebelum terdengar bunyi bumbung zink ditiup angin kencang dalam kejadian pukul 9.45 malam.

Beliau berkata, mereka berlindung dalam rumah kerana ketakutan dan tidak sampai 10 minit, beliau mendapati bumbung rumahnya diterbangkan ribut dan air hujan terus masuk ke dalam rumah.

“Angin ribut kuat sungguh dan masa itu saya cuma ingat nak selamatkan isteri dan anak sahaja, kami dalam keadaan kucar-kacir dan dalam pukul 10 (malam) tu betul-betul terlalu kuat yang menyebabkan saya sendiri tak sedar bumbung siapa yang terbang sama ada jiran ka atau pun kita punya. Apabila saya melihat bumbung rumah dah cerah… air hujan terus masuk habis barang-barang persiapan raya rosak,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan di sini, hari ini.

Romlan berkata, selain persiapan menyambut Aidilaadha tergendala, persiapan pertunangan anak lelakinya, Abu Nidar, 27, dengan gadis dari Jeli, Kelantan turut terjejas tetapi majlis itu akan tetap diteruskan walaupun rumahnya dilanda ribut.

Seorang lagi mangsa, Mohd Daud Ismail,50-an pula bersama 12 anggota keluarganya terpaksa bersembunyi dalam bilik di tingkat bawah kerana terlalu takut dengan bunyi ribut dan hanya keluar dari bilik 30 minit kemudian selepas mendapati angin kencang mula reda.

“Anak semua sudah sampai di rumah untuk meraikan Hari Raya Aidiladha dan semasa dalam bilik bunyi angin sangat kuat… keluar saja dari bilik saya tengok habis bumbung rumah di bahagian dapur dan tingkat atas telah tercabut. Walaupun sedih saya bersyukur kami semua selamat,” katanya.

Selain Kuala Juru, kira-kira 206 rumah sekitar Seberang Prai terjejas terutama bahagian bumbung tercabut susulan kejadian ribut malam tadi.

Berdasarkan pemantauan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), ribut kuat malam tadi adalah sebahagian taufan Lekima yang bertiup pada kelajuan 100.8 kilometer sejam dengan taburan hujan 53 milimeter.

-BERNAMA


Pengarang :