AGENDASUKANKINI

PKNS FC masih berpeluang ke suku akhir Piala Malaysia

SHAH ALAM, 17 OGOS: Ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal percaya skuad Semut Merah mampu mara ke peringkat kumpulan A kempen Piala Malaysia walaupun gagal meraih tiga mata penuh selepas seri 1-1 dengan juara lima kali, Kedah di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu menegaskan pemainnya akan tetap memberi saingan untuk memburu keputusan positif dalam baki tiga perlawanan peringkat kumpulan.

“Sekiranya kita mendapat tiga mata penuh apabila kita bertandang ke Stadium Darul Aman untuk perlawanan keempat peringkat kumpulan, peluang untuk ke peringkat seterusnya masih cerah.

“Sebagai jurulatih, saya kena percaya pada pemain yang mereka dapat memberi saingan dan berkemungkinan untuk membuat kejutan (mara ke suku akhir),” katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau berpuas hati dengan kutipan satu mata memandangkan PKNS FC memberi saingan sengit kepada skuad Lang Merah pada perlawanawanan berkenaan.

“Babak pertama pemain kita gagal untuk membuat beberapa hantaran yang baik, tetapi selepas itu mereka mula bekerjasama dan lebih agresif.

“Kita banyak mencipta peluang, tetapi gagal menambah gol, jadi ini yang harus diterima oleh pemain sebagai satu pasukan untuk tidak menyalahkan satu sama lain,” jelas jurulatih kelahiran Singapura itu.

Pada aksi berkenaan, Kedah bermula garang apabila memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan pemain import dari Sepanyol, Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-19, sebelum PKNS FC menyamakan kedudukan pada minit ke-69 menerusi Romel Oswaldo Morales.

Keputusan seri itu tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan yang menduduki tangga kedua dan ketiga, masing-masing dengan kutipan empat mata di belakang Terengganu FC.

– BERNAMA


Pengarang :