BERITA UTAMA

PM ingatkan pemimpin jangan ego

SHAH ALAM, 2 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pemimpin supaya sentiasa merendah diri bagi mengelak sifat ego menguasai diri.

Bagaimanapun, katanya, seorang pemimpin yang ego juga boleh dilihat dari sudut positif.

Namun, beliau menegaskan sikap itu akhirnya hanya akan menjadikan mereka sukar dikritik dan menerima pandangan yang berbeza.

“Tanpa sifat rendah diri, seorang pemimpin akan dikuasai sikap ego. Tetapi rendah diri bukan menjadikan seorang pemimpin itu lemah, malah akan memudahkan mereka bersama-sama orang yang menyokongnya dan menjadikannya pemimpin.

“Jika seorang pemimpin hilang sentuhan dengan penyokongnya, beliau tidak lagi boleh dipanggil pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian ‘10th University Scolars Leadersgip Symposium’ (USLS) 2019 di Pusat Konvensyen Setia Alam di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mahathir berkata, seseorang pemimpin juga perlu bebas dari sebarang sikap korupsi selain mempunyai integriti dan jujur.

“Jika tidak pemimpin itu akan terbabit dalam rasuah dan tidak boleh dipercayai.

“Kemudian, pemimpin mesti bersedia kerja keras dan mereka harus berbangga dengan kerja mereka.

“Selain itu, seorang pemimpin mesti sentiasa mencari pengetahuan dan peka perubahan di sekeliling mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kepimpinan bukan sains roket tetapi adalah mengenal nilai setiap hari.

“Nilai berikut adalah apa yang saya selalu percaya,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :