Mohd Fharulisa Mohd Isa (dua kiri) bersama anggota penguat kuasa MPK membuat pemeriksaan palet plastik ketika Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Kilang Plastik Haram di Teluk Gong, pada hari ini.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Sanggup bayar bil elektrik RM100,000 sebulan jalankan operasi

KLANG, 8 OGOS: Pemilik kilang yang memproses plastik sampah haram sanggup membayar bil elektrik mencecah RM100,000 sebulan bagi menjalankan operasi mereka.

Timbalan Pengarah Pelesenan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mohd Fharulisa Mohd Isa berkata, hal itu kerana pemilik premis memperoleh keuntungan jutaan ringgit setelah sampah berkenaan diproses dan dihantar kepada pengilang.

“Jumlah kompaun yang dikenakan setiap kali (kilang) beroperasi ialah RM1,000, sudah tentu nilainya amat rendah pada mereka.

“Ekoran itu, ketika operasi membanteras kilang haram hari ini, MPK mengambil tindakan untuk membuat pemotongan bekalan elektrik bagi melumpuhkan operasi mereka,” katanya ketika ditemui pada Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Kilang Plastik Haram di Teluk Gong, di sini, hari ini.

Operasi itu turut disertai Ahli Majlis Kawasan Zon 46B, M Puspavali dan Pengurus Penasihat Runcit Perniagaan Tenaga Nasional Berhad, Mohamad Izwan Zainal.

Ia turut mendapat kerjasama anggota Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pada 3 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han memaklumkan akan bertemu Suruhanjaya Tenaga untuk bekerjasama supaya membuat pemotongan bekalan elektrik, selepas menerima surat permohonan atau aduan berkaitan kilang plastik haram daripada Pihak Berkuasa Tempatan.

Sementara EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, JAS akan menyita semua mesin di kilang haram dan membuat pendakwaan terhadap pemilik tanah serta premis kilang di mahkamah mengikut akta sedia ada.


Pengarang :