PUTRAJAYA, 1 Ogos — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) mempengerusikan Pembukaan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut kelihatan, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran (kiri) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman (kanan). — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMA

Sedia persekitaran kondusif galak aliran masuk modal asing-PM

PUTRAJAYA, 1 OGOS: Malaysia komited menyediakan persekitaran kondusif untuk menggalakkan aliran masuk modal dan teknologi asing dalam usahanya untuk kekal sebagai pilihan utama pelabur asing.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara juga sedar berhubung keperluan untuk meningkatkan daya saing industri Malaysia di peringkat global.

Berucap pada sesi meja bulat dengan dewan perniagaan antarabangsa, bertema “Memperkasakan Tenaga Kerja Malaysia, Memupuk Bakat Masa Depan” di sini hari ini, perdana menteri mempelawa komuniti perniagaan asing untuk berkongsi pandangan mereka berhubung usaha untuk meningkatkan potensi yang boleh dilakukan negara ini.

“Saya tidak sabar untuk mendengar pandangan anda berhubung bidang yang berpotensi untuk dipertingkatkan, serta bagaimana kami boleh menjalin usaha sama dan persefahaman lebih baik untuk Malaysia terus maju,” katanya.

Sebelum sesi hari ini, Dr Mahathir berkata dewan perniagaan asing diminta memberikan input berhubung beberapa cabaran yang dihadapi ahli mereka apabila menjalankan operasi dan kegiatan peniagaan di Malaysia.

Beliau menegaskan terdapat banyak naratif berhubung Industri 4.0, kecerdasan buatan (AI), inovasi, automasi, Objek Rangkaian Internet (IOT) dan kemajuan teknologi yang lain dan potensi impaknya ke atas semua industri.

“KIta juga mungkin menyatakan dengan pasti bahawa Industri 4.0 akan mengubah jenis pekerjaan yang diperlukan dalam semua sektor pasaran.

“Adalah penting untuk ambil perhatian, bahawa, walaupun perubahan dan disruptif adalah perkara baharu yang biasa, keperluan kepada bakat dan pembangunannya kekal penting,” kata perdana menteri.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa komuniti perniagaan asing untuk membantu dalam memacu daya saing dan inovasi untuk mewujudkan pekerjaan masa depan di Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :