Amiruddin Shari pada sidang akhbar Penyerahan Buku Laporan Risiko Bencana Kepada Dato’ Menteri Besar, di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di SUK Shah Alam .23 Ogos 2019. REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
BERITA UTAMA

Selangor bakal miliki data bencana lengkap 2022

SHAH ALAM, 23 OGOS: Selangor bakal memiliki data bencana dan sistem pencegahan banjir serta tanah runtuh yang lengkap menjelang 2022 melalui kajian laporan risiko bencana yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Tohoku, Jepun.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kajian yang dimulakan pada Mac tahun lalu itu mengambil tempoh selama empat tahun selepas mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Katanya, data berkenaan membolehkan pencegahan dan persiapan awal dapat dijalankan unit pengurusan bencana, khususnya dalam menghadapi risiko bencana secara lebih efektif serta efisien.

“Universiti Tohoku membentangkan satu laporan awal dalam tempoh setahun lima bulan ini yang dirangkumkan kepada beberapa perkara antaranya keperluan mendapatkan pengumpulan data, peta bencana dan pembinaan komunikasi antara komuniti untuk berdepan bencana.

“Mereka juga mengunjungi beberapa lokaliti seperti Hulu Langat, Kapar dan Klang untuk melihat secara menyeluruh berkaitan pengurusan bencana serta kesiapsiagaan kita terhadap pengurusan bencana.

“Beberapa lagi rangkuman kajian juga masih dalam penyelesaian kita,” katanya pada Penyerahan Buku Laporan Risiko Bencana Kepada Dato’ Menteri Besar, di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan SUK, di sini hari ini.

Hadir sama, barisan Ahli MMKN termasuk beberapa wakil Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Institut Penyelidikan Antarabangsa Bencana Sains Jepun (IRIDeS).

Amirudin berkata, Selangor dianggap sebagai bertuah kerana dipilih sebagai `set ujian’ terhadap kajian pengesanan bencana itu kerana mempunyai Unit Perancang Bencana dengan dana dan pengurusan tertentu.

“Daripada satu unit, kita cuba untuk mengembangkan kepada semua pemegang taruh seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan berkaitan yang bukan hanya menangani bencana ketika banjir, tetapi melihat masalah bencana yang akan datang seperti taburan hujan serta kitaran angin.

“Justeru, melalui kajian ini Universiti Tohoku berkongsi kepakaran mereka melibatkan teknologi yang digunakan untuk melihat struktur bumi sesuatu lokaliti dan kawasan.

“Sekiranya kita dapat membuat jangkaan awal tentang pergerakan tanah, kita boleh mengurangkan risiko dengan mengambil tindakan untuk menghalang daripada bencana,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berasingan, Buku Laporan Risiko Bencana: Memahami Risiko Tanah Runtuh Dan Banjir bagi Mengurangkan Risiko Bencana Berasaskan Sains di Negeri Selangor yang pertama di negara ini turut dilancarkan.

Sejumlah 2,000 salinan buku laporan berkenaan akan diedarkan kepada PBT, agensi kerajaan dan pihak universiti sebagai rujukan untuk mereka berkongsi dengan komuniti berhubung risiko bencana.


Pengarang :