AGENSISELANGOR

Selangor siap sedia hadapi fenomena air pasang besar

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan Negeri bersiap sedia dan mengarahkan persediaan dilakukan bagi menghadapi fenomena air pasang besar tahap tinggi, bermula 1 September hingga 30 Oktober ini.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam kenyataan memaklumkan, lima daerah membabitkan Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka akan terkesan ekoran fenomena itu.

Katanya, fenomena berkenaan dijangka berlaku sekitar jam 5 hingga 8 pagi pada ketinggian 5.5 hingga mencecah 5.7 meter.

“Fenomena ini diramal bermula 1 dan 2 September, 29 September hingga 2 Oktober, 27 hingga 30 Oktober di persisiran pantai negeri.

“Sekiranya cuaca hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku, risiko banjir akan meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri menasihatkan penduduk di kawasan berisiko dapat mematuhi arahan Pihak Berkuasa Keselamatan dari masa ke masa.

Sejumlah 21 pusat pemindahan akan disediakan di empat daerah berkenaan.


Pengarang :