V. Ganabatirau bergambar bersama wakil kuil seluruh Selangor dan pelajar yang menerima bantuan dalam Majlis Penyerahan Bantuan peruntukan Rumah Ibadat Bukan Islam (Kuil) Fasa 5 dan Bantuan Yuran Pengajian IPTA/IPTS Fasa 6 di Bangunan SUK Selangor. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor sumbang RM303,000 kepada kuil, anak-anak pekerja ladang

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM303,000 untuk disalurkan kepada rumah ibadat bukan Islam (Kuil) dan bantuan yuran pengajian kepada anak-anak pekerja ladang di negeri ini.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM210,000 disalurkan kepada 30 kuil di seluruh Selangor.

Kata beliau, baki sejumlah RM93,000 lagi disumbangkan kepada 19 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) bagi kategori bantuan yuran pengajian anak-anak pekerja ladang.

“Sumbangan ini bertujuan membela nasib anak pekerja ladang dalam meringankan beban ibu bapa mereka untuk menanggung kos yuran pengajian yang tinggi selain membolehkan anak mereka terus fokus dalam pembelajaran.

“Selain itu, Kerajaan Selangor juga sentiasa peka dalam menjaga kebajikan rumah ibadat bukan Islam dan berharap dengan sumbangan ini akan melancarkan lagi operasi dan aktiviti yang dijalankan persatuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Penyerahan Bantuan Peruntukan Rumah Ibadat Bukan Islam (Kuil) Fasa 5 dan Bantuan Yuran Pengajian IPTA/IPTS Fasa 6 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ganabatirau berkata, beliau memuji pentadbiran di bawah pemerintahan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang sentiasa prihatin dan telus dalam menyampaikan sumbangan kepada rakyat.

Katanya, ketulusan Kerajaan Negeri sekali gus membuktikan masyarakat begitu gembira dan wujud rasa hormat serta bangga dengan kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

“Walaupun nilai bantuan tidak begitu besar jumlahnya namun Kerajaan Negeri sentiasa telus menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ganabatirau sempat meluangkan masa hampir setengah jam memberikan sumbangan kepada wakil daripada pihak Kuil dan pelajar IPTA/IPTS.

Difahamkan, sehingga kini seramai 100 pelajar (anak pekerja ladang) sudah dibantu menerusi bantuan terbabit dengan masing-masing menerima sejumlah RM2,000 ke RM3,000 setiap seorang.


Pengarang :