EXCOSELANGOR

Siap sedia hadapi bebas tunai

KLANG, 24 OGOS: Usahawan Selangor diminta bersiap sedia ke arah pelaksanaan masyarakat bebas tunai (cashless society) yang rancak dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) ketika ini.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, usahawan juga disaran mendaftarkan diri di SSDU untuk merealisasikan transaksi pembayaran bebas tunai itu.

“Semua pihak perlu ambil tahu. Jika ia sudah dilaksanakan di pasar malam, kenapa tidak peniaga Mini Expo Usahawan Selangor (MEXUS) atau peniaga lain.

“Ketika ini, Kerajaan Negeri komited ke arah pelaksanaan itu, semua jenis bil atau pembelian barangan perlu hanya menggunakan aplikasi.

“Oleh itu, saya berharap peniaga tidak ketinggalan dalam peredaran ini, jika peniaga kecil sudah lakukan mengapa di premis besar atau sederhana tidak boleh dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran MEXUS daerah Klang di Pusat Membeli-Belah Aeon Bukit Raja, di sini.

Seiring perkembangan teknologi, Kerajaan Negeri melalui SSDU mewujudkan ‘cashless society’ sebagai medium terbaru transaksi jual beli secara elektronik dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Pelaksanaan itu memperlihatkan Selangor terus ke hadapan dalam mengaplikasi ekonomi digital bagi meningkatkan landasan e-pembayaran ke arah masyarakat tanpa tunai.

Ia dibangunkan di bawah domain Infrastruktur Smart Digital dalam program Smart Selangor bagi menggalakkan rakyat mengurangkan kebergantungan membawa wang fizikal dan menjamin keselamatan apabila digunakan secara meluas.

Dengan kerjasama Axiata Digital yang menggunakan applikasi online ‘Boost’ sebagai e-wallet, ia mampu melakukan transaksi mikro harian bermula RM0.01 hingga RM1,500 bagi semua barangan dan perkhidmatan.


Pengarang :