Altet Tennis Kerusi Roda Malaysia Abu Samah Borhan ketika sesi panas badan sebelum beraksi di pertandingan Kejohanan Tenis Kerusi Roda Terbuka Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Uniqlo Selangor di Kompleks Sukan Kelana Jaya pada 20 Ogos 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Terbuka ITF Uniqlo Selangor 2019 platform ke Paralimpik Tokyo

PETALING JAYA, 20 OGOS: Kejohanan Terbuka Persekutuan Tenis Antarabangsa Uniqlo Selangor 2019 menjadi platform terbaik bagi pemain tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan melayakkan diri ke Paralimpik Tokyo 2020 secara merit.

Pemain kelahiran Sungai Besar itu berjaya mengumpul lebih 400 mata setakat ini dan menyasarkan sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir bagi meraih tambahan mata diperlukan.

“Saya perlu capai sekurang-kurangnya 500 mata sebelum tempoh berakhir pada Mei nanti untuk saya layak secara merit.

“Kalau saya dapat ke separuh akhir pada kejohanan ini ianya sudah banyak membantu saya untuk layak ke Paralimpik Tokyo nanti,” katanya.

Pemain nombor 47 dunia itu berkata demikian kepada SelangorKini pada kejohanan yang berlangsung pada 19 hingga 22 Ogos nanti.

Beliau yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan mempunyai peluang cerah apabila tidak bertembung dengan pilihan pertama hingga keenam kejohanan di peringkat awal.

Selain Abu Samah, kejohanan ini turut disertai beberapa pemain antarabangsa yang berada di kedududan dunia lebih baik.

Abu Samah yang dijadualkan menentang rakan senegara dalam peringkat suku akhir yakin peluang untuk cerah untuk ke peringkat separuh akhir.

“Hari ini bertemu rakan senegara, ianya bukanlah lawan yang mudah buat saya tetapi Insya Allah saya yakin ada peluang cerah untuk menang,” katanya.


Pengarang :