DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris bergambar kenangan bersama penerima dalam Majlis Pengurniaan Watikah Gelaran Dato’ Diraja Selangor, Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS, Setiausaha MAIS, Pendaftar Kanan, Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor (Wali Raja) disampaikan oleh DYMM Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Dari kanan : Pendaftar Kanan, Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor (Wali Raja), Mohd Hafiz Ab Aziz, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Ahmad Shahir Makhtar, Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Zawawi Mughni, Pendaftar Kanan, Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor (Wali Raja), Hazman Che Mohamed. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Zawawi pilih wasatiyyah depani cabaran masyarakat Islam

SHAH ALAM, 22 OGOS: Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ahmad Zawawi Mohd Mughni berhasrat menerapkan pendekatan wasatiyyah dalam umat Islam dengan meletakkan pegangan teguh terhadap al-Quran dan sunnah seimbang dalam hal dunia mahupun akhirat.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis itu berkata, pendekatan itu diambil bagi mendepani cabaran masyarakat masa kini yang dilihatnya terbahagi kepada dua kelompok iaitu Islam radikal dan Islam ‘longgar’.

“Kelompok radikal ini ialah mereka yang terlalu ekstremis sehingga ada yang sesuka hati mengkafirkan orang lain, sementara kelompok ‘longgar” pula adalah mereka yang memandang ringan antara contohnya apabila tidak menunaikan solat ia bukan kesalahan serta mereka enggan menerima teguran.

“Oleh itu, peranan saya melalui anggota MAIS ini ialah cuba membawa kedua-dua kelompok ini pada kedudukan yang lebih seimbang,” katanya kepada SelangorKini.

Imam Besar Masjid Negeri membacakan doa sejurus selesai Pengurniaan Watikah Gelaran Dato’ Diraja Selangor, Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS, Setiausaha MAIS, Pendaftar Kanan, Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor (Wali Raja) disampaikan oleh DYMM Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Semalam, Mohd Zawawi menerima watikah pelantikan sebagai anggota MAIS secara rasmi daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pelantikan yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2020 itu selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 (ENPAINS 2003) di bawah Seksyen 11 (1) (d).

Enakmen terbabit menyatakan anggota majlis hendaklah tidak kurang lapan orang dengan lima daripadanya hendaklah arif dalam agama Islam.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, pendekatan wasatiyyah adalah yang terbaik kerana tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar.

“Akidah Islam membentuk pendekatan ideal, sesuai dan harmoni yang menjadi sumber perpaduan dan kekuatan masyarakat ketika zaman Rasulullah SAW dan sahabat, bukan punca perpecahan.

“Akidah yang benar membentuk sebaik-baik manusia mentaati Allah, tidak membangkitkan perdebatan antara ahli ilmu dan membingungkan masyarakat awam yang kurang mengetahui,” katanya.


Pengarang :