Hee Loy Sian pada perasmian Karnival Jelajah 360 Smart Selangor edisi keenam di Jalan Pasar Malam, di sini hari ini. Foto NADIAH ZAMLUS
EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Agenda Smart Selangor tambah baik mutu kemudahan awam

KAPAR, 7 SEPT: Penggunaan teknologi pintar yang lebih efisien melalui gagasan Smart Selangor mampu menambah baik kualiti perkhidmatan kemudahan awam di negeri ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, gagasan itu sudah menambah baik penggunaan teknologi pintar melalui aplikasi ‘Selangor Intelligent Transport System’ bagi penggunaan Bas Smart Selangor.

Selain itu, katanya, Smart Selangor Delivery Unit juga memperkenalkan Smart Selangor Parking, dan terbaharu aplikasi CEPat yang akan membantu segala urusan orang awam dengan Pihak Berkuasa Tempatan serta Kerajaan Negeri.

“Kesemua kerja tambah baik ini dilakukan untuk membolehkan penduduk Selangor merasai manfaat sebuah negeri pintar.

“Perkhidmatan sebegini bukan sahaja mendapat liputan yang meluas di seluruh negeri, tetapi sentiasa mempunyai nilai tambah yang memudahkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Karnival Jelajah 360 Smart Selangor edisi keenam di Jalan Pasar Malam, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi dan Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, Klang adalah destinasi keenam program itu memandangkan ia antara daerah yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi.

“Sambutan menggalakkan diterima sepanjang penganjuran Karnival Jelajah 360 membuktikan rakyat Selangor bersedia bersama dengan kerajaan untuk mencapai matlamat negeri pintar.

“Melalui program sebegini, bukan hebahan saja dilakukan kepada setiap pelusuk rakyat, tetapi rakyat sendiri dapat mengalami serta mendapat maklumat secara terus daripada Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :