Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama bonda Sultan Muhammad V, Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid (kiri) berkenan berangkat tiba memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ismail Petra di Istana Balai Besar pada 28 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong, Permaisuri beri penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ismail

KOTA BHARU, 28 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Istana Kota Lama di sini, bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ismail Petra, yang mangkat pada pukul 8.11 pagi ini.

Almarhum Sultan Ismail Petra adalah ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Seri Paduka, yang tiba pada pukul 3.20 petang turut diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di istana berkenaan pada pukul 2.10 petang.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menzahirkan ucapan takziah kepada Sultan Kelantan atas kemangkatan ayahanda baginda.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendoakan semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“PDRM akan menyalurkan segala bantuan yang perlu bagi memastikan urusan istiadat kemangkatan berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Ismail Petra, 69, Sultan Kelantan ke-28, mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pukul 8.11 pagi tadi.

Pengumuman kemangkatan baginda dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darul Naim, Kota Bharu.

Sultan Ismail Petra memerintah Kelantan dari 30 Mac 1980 sehingga Mei 2009.

Baginda kemudiannya digantikan putera sulung, Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan, akibat gering.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof turut menzahirkan sembah takziah kepada Sultan Kelantan dan seluruh kerabat Diraja Kelantan atas kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Petra.

Katanya, seluruh warga Parlimen amat berdukacita dan sedih dengan kemangkatan baginda.

“Sesungguhnya segala jasa dan bakti Almarhum baginda Sultan Ismail Petra akan sentiasa kami kenang,” katanya dalam kenyataan.

Jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar selepas Asar ini.

– BERNAMA


Pengarang :