AGENSISELANGOR

JAIS rekod 2,399 permohonan sijil Halal sehingga Julai

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sejumlah 2,399 permohonan sijil halal oleh syarikat bukan bumiputera direkodkan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di negeri ini bermula Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah JAIS, Mahdi Al-Hilmy Arshad berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 67 peratus berbanding 1,654 permohonan diterima pada tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kesemua pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang mendapat sijil berkenaan akan dipantau sekurang-kurangnya satu kali sepanjang tempoh permohonan bagi memastikan piawaian halal dipatuhi secara konsisten.

“Kami menjalankan proses audit di lapangan bertujuan mengesahkan pematuhan kepada standard serta manual prosedur pensijilan halal, selain menerima, memproses dan membuat semakan kepada permohonan halal.

“Hasil auditan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Halal Negeri Selangor yang dianggotai badan berautoriti dan profesional untuk mendapatkan kelulusan,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam perkembangan sama, Mahdi berkata, pengeluaran sijil dan logo halal yang seragam di seluruh negara antara kejayaan besar dicapai setakat ini bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Pengeluaran sijil halal membantu pengguna mengenalpasti produk halal, selamat dan berkualiti, sekali gus mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penyelewengan serta penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

“Malah, pensijilan halal di negara ini bukan hanya menekankan pematuhan hukum syarak, malahan menggungakan standard antarabangsa, khususnya daripada aspek keselamatan dan kebersihan makanan serta produk.

“Ini juga menjamin produk halal Malaysia benar-benar berkualiti bagi tujuan eksport,” katanya.


Pengarang :