Orang ramai digesa tidak melakukan pembakaran secara terbuka elak kejadian jerebu. Foto Ihsan Unit Pengurusan Bencana Selangor
ADNSELANGOR

Orang ramai digesa tidak bakar belukar

KLANG, 2 SEPT: Orang awam khususnya petani digesa agar tidak melakukan pembakaran belukar dan kebun secara terbuka kerana dikhuatiri perbuatan itu akan mengundang keadaan tidak terkawal.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni berkata, nasihat itu ekoran berlakunya kebakaran hutan di Johan Setia, Klang, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya, kebakaran di Johan Setia itu berjaya dikawal dan dipadamkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) dan skuad relawan kampung.

“Kebakaran itu dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan pertanian.

“Saya menyeru henti melakukan pembakaran terbuka kerana bimbang kebakaran itu merebak sekali gus boleh terjadinya jerebu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, Unit Pengurusan dan Bencana Selangor memaklumkan, hasil pemantauan mendapati beberapa spot kecil sedang berasap di kawasan Johan Setia.

“Keadaan di lokasi kini selamat dan terkawal namun Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih berada pada tahap kualiti udara tidak sihat,” katanya.


Pengarang :