Keadaan terminal lapangan terbang KLIA yang sesak akibat mengalami gangguan sistem pada 22 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gangguan sistem KLIA, 12 pekerja MAHB diambil keterangan

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Polis setakat ini telah mengambil keterangan 12 individu terdiri daripada kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi membantu siasatan insiden gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Polis Zulkifli Adamsah berkata, mereka termasuk seorang wanita yang ada kaitan dengan pengendalian sistem tersebut.

Menurutnya, pembekal sistem di KLIA akan turut dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Kes ini agak rumit kerana membabitkan perkara teknikal dan memerlukan penilaian daripada mereka yang pakar dalam bidang berkaitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata rumusan siasatan akan dipanjangkan kepada Ketua Polis Selangor untuk tindakan lanjut.

Gangguan rangkaian sistem di KLIA yang dilaporkan mula dikesan pada 21 Ogos menyebabkan kegagalan fungsi beberapa sistem seperti sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk, sistem pengendalian bagasi (BHS) dan sambungan WiFi.

Susulan itu, MAHB membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Keadaan di KLIA dilaporkan kembali normal beberapa hari selepas itu susulan tindakan MAHB untuk menangani insiden berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :