Pemain Selangor, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan, Endrick Dos Santos Parafita ketika menentang Felda United pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, pada 18 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDASELANGORSUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor tempah tiket suku akhir

SHAH ALAM, 19 SEPT: Tiada yang lebih menggembirakan penyokong skuad Gergasi Merah selepas pasukan kesayangan berjaya membenam Felda United FC 2-0 malam tadi.

Lebih manis lagi, selain membalas dendam kemaraan disekat pasukan sama di pusingan ketiga Piala FA April lalu, kemenangan itu turut membawa Selangor ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Terdahulu, pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan D di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka,  walaupun bergelut pada 10 minit pertama, anak buah B Sathianathan kembali bangkit untuk menguasai permainan.

Jaringan pertama Selangor muncul pada minit ke-16 menerusi Ifedayo Omosuyi sebelum Khyril Muhyemeen Zambri menambah derita The Fighters dengan gol kedua pada minit ke-73.

Percubaan Selangor untuk menambah jaringan gagal walaupun dihidangkan deretan peluang keemasan.

Kemenangan penting malam tadi membolehkan Selangor menduduki tangga teratas dengan 10 mata.

Turut mengiringi juara 33 kali itu ke suku akhir ialah Melaka yang menduduki tempat kedua selepas mengikat Polis Diraja Malaysia 2-2 di Stadium Perbandaran Selayang.

Pasukan lain yang turut berjaya kep peringkat sama, juara bertahan, Perak; Johor Darul Ta’zim, Kedah, Pahang dan Terengganu FC.

Manakala satu lagi slot akan ditentukan perlawanan membabitkan PJ City FC dan PKNP FC Jumaat ini.

PJ City FC hanya memerlukan keputusan seri untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik kempen Piala Malaysia kali ini.


Pengarang :