AGENDANASIONAL

Rasuah: Perketat hukuman sebagai amaran kepada kakitangan awam

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Hukuman ke atas pesalah rasuah daripada segi perundangan negara perlu diperketatkan tanpa mengira kedudukan dan pangkat bagi memberi peringatan kepada kakitangan awam lain, kata Presiden Dewan Perniagaan ASEAN (DPA) Datuk Moehamad Izat Emir.

“Hukuman ringan kepada pesalah rasuah mendorong dan memotivasikan pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana mereka sedar bahawa mereka mampu menikmati hasilnya setelah bebas dari hukuman atau penjara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu kerajaan dengan bertindak agresif dalam memerangi dan membanteras gejala jenayah rasuah yang membabitkan pegawai dan kakitangan kerajaan.

Beliau berkata, ini berikutan terdapat masalah integriti dan ketelusan pegawai kerajaan yang diragui, walaupun dua jenayah yang melibatkan kakitangan awam berjaya dihidu pihak berkuasa baru-baru ini.

Dua jenayah berkenaan adalah pembabitan anggota polis dalam sindiket menyeludup tenggiling di sempadan negara yang dilakukan sejak 2012, selain penglibatan pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara dalam kegiatan haram iaitu menjual MyKad dan sijil lahir.

“Ketelusan dalam sistem pentadbiran kerajaan juga diragui sehingga menyebabkan masalah rasuah ini bermaharajalela kerana dikhuatiri kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutama dalam perolehan tender dan projek kerajaan.

“Kelemahan dalam ketelusan ini menyebabkan pihak yang terbabit mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan memberi rasuah kepada pegawai yang terangsang untuk melakukan jenayah rasuah sebelum terjerumus dalam penyalahgunaan kuasa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :