Keadaan jerebu sangat tidak sihat pada waktu pagi di SMK Seri Rompin, Rompin. Foto Facebook Nur Emylia Irwani
AGENDANASIONAL

Rompin catat IPU sangat tidak sihat

PUTRAJAYA, 11 SEPT: Satu stesen iaitu Rompin, Pahang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat pada pukul 11 pagi ini manakala 21 stesen pula merekodkan IPU pada tahap tidak sihat.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini berkata keadaan di Rompin itu disebabkan oleh kebakaran belukar seluas 2.02 hektar di Kampung Gading yang berhampiran dengan stesen pemantauan udara di Rompin.

“Pemadaman kebakaran tersebut sedang dalam tindakan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dan siasatan lanjut sedang dilakukan oleh pihak JAS,” kata jabatan itu mengenai laporan status kualiti udara dan jerebu.

Bacaan IPU di Rompin pada pukul 11 pagi ialah 226.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

JAS dalam pada itu berkata kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak.

“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa,” katanya.

JAS juga berkata tiada kebakaran dilaporkan daripada aktiviti perladangan di Johan Setia, Klang.

Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 10 Sept 2019, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 mengesan 554 titik panas (hotspot) di Sumatera, 736 titik panas di Kalimantan dan 24 titik panas di Malaysia iaitu Johor (empat), Selangor (satu), Pahang (satu), Perak (tiga), Kedah (satu), Sabah (tiga) dan Sarawak (11).

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada 10 Sept menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran di barat, tengah dan selatan Kalimantan; dan di Jambi, Riau, Sumatera Selatan dan Lampung di Sumatera.

“Arah pergerakan angin dari arah Barat Laut telah membawa asap jerebu dari kawasan Kalimantan dan Sumatera yang terjejas ke kawasan bahagian barat Sarawak dan seluruh Semenanjung Malaysia dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan tersebut,” kata JAS.

Kawasan di Selangor yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat pada pukul 11 hari ini ialah Johan Setia (177), Shah Alam (141), Petaling Jaya (138) , Klang (132), Banting (130) dan Kuala Selangor (120).

Sarawak ialah Sri Aman (159), Kuching (147) dan Samarahan (128); Putrajaya pula mencatatkan bacaan IPU 152, Cheras dan Batu Muda di Kuala Lumpur pula masing-masing merekodkan bacaan 137 dan 133.

Kawasan lain dengan bacaan IPU tidak sihat ialah Nilai (155), Seremban (127), Port Dickson (113), Tangkak (133), Seri Manjung (124), Balik Pulau (110), Alor Gajah (109), Bukit Rambai (106) dan Bandaraya Melaka (104).

-BERNAMA


Pengarang :