Dr Siti Mariah Mahmud pada sesi Pembentangan Hasil Penyelidikan dan Perbincangan Meja Bulat Kajian Gender Dalam Amalan Pekerjaan Di Kalangan Golongan Profesional Negeri Selangor di MTES SUK, Shah Alam pada 27 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Ubah mentaliti diskriminasi jantina bermula dari rumah

SHAH ALAM, 27 SEPT: Diskriminasi jantina yang berlaku di tempat kerja boleh diubah dengan masyarakat dinasihat membentuk mentaliti anak-anak daripada kecil supaya tidak membeza-bezakan tanggungjawab mengikut wanita atau lelaki.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, perkara itu berlaku apabila wujudnya mentaliti dalam kalangan lelaki yang menganggap kerja rumah hanya perlu dilakukan oleh wanita.

Katanya, sebenarnya masyarakat tidak kira lelaki atau wanita mereka perlu sama-sama bertanggungjawab dalam menggalas komitmen dan tidak menetapkan tugasan kepada satu-satu golongan sahaja.

“Apabila kita bercakap soal diskriminasi di tempat kerja, penekanan atau kesedaran itu perlu bermula dari rumah iaitu keluarga.

“Mentaliti ini juga antara punca majikan teragak-agak mahu mengambil pekerja wanita kerana mereka telah beranggapan tugas wanita hanya di rumah manakala lelaki pula seolah-olah tiada komitmen di rumah.

“Justeru, saya menyarankan ibu bapa untuk mendidik anak-anak daripada kecil dengan meneutralisasikan mereka bahawa tugas lelaki dan wanita adalah sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Pembentangan Hasil Penyelidikan dan Perbincangan Meja Bulat Diskriminasi Gender Dalam Amalan Pekerjaan Di Kalangan Penjawat Awam Selangor.

Terdahulu, satu kajian bertajuk Diskriminasi Gender Dalam Amalan Pekerjaan Di Kalangan Penjawat Awam Selangor dilakukan lima pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang diketuai Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri.

Kajian itu dilakukan terhadap 349 responden lelaki dan wanita membabitkan penjawat awam di Selangor.

Antara dapatan kajian itu menunjukkan 45.7 peratus responden di Selangor berasa jantina diambil kira semasa pemilihan pekerja manakala 43.86 peratus wanita berasa mereka tidak berpeluang menerima kenaikan pangkat.

Difahamkan, kajian itu dilakukan bertujuan mengenalpasti diskriminasi gender di setiap peringkat amalan pekerjaan seperti pengambilan, kenaikan pangkat, pembangunan kendiri, pengurangan pekerja dalam sektor awam di Selangor.


Pengarang :