Pemandangan puncak Gunung Kinabalu. – Foto AFP
AGENDASUKANKINI

OKU jalan mengundur daki Kinabalu

KOTA KINABALU, 7 OKT: Selepas mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records dengan mendaki Gunung Kinabalu secara mengundur pada 1992, Edward Taning, 58, bakal kembali melakukan aksi yang serupa tahun depan dalam usahanya mencipta nama dengan rekod baharu.

Projek yang dinamakan sebagai Edward Gostaning (Summit Kinabalu Jasamu Dikenang) itu akan diadakan pada 8 Mac 2020.

Pengerusi penganjur projek berkenaan Danson Bulangai berkata, Edward akan berjalan secara mengundur menaiki puncak Gunung Kinabalu dan menuruni gunung berkenaan yang keseluruhannya melibatkan jarak perjalanan 20 kilometer (km).

Katanya penganjuran program berkenaan dilaksanakan secara bersama dengan projek kutipan dana amal sebanyak RM300,000 bagi membantu Persatuan Malim Gunung, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Sekolah Kebangsaan Bundu Tuhan, Ranau.

“Program anjuran Persatuan Malim Gunung ini bertujuan menyalurkan bantuan kebajikan dan melalui derma yang kita kutip sepanjang berlangsungnya program ini, diharap ia dapat membantu membiayai kemudahan malim Gunung Kinabalu serta dapat membantu membina Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Bundu Tuhan, Ranau,” katanya.

Danson berkata, Edward adalah orang kelainan upaya (OKU) pertama di negara ini yang mampu berjalan secara mengundur pada jarak ratusan kilometer.

Sebelum ini, anak tempatan Inanam ini pernah mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang mendaki Gunung Kinabalu secara mengundur pada 1992.

Selepas 17 tahun, Edward kembali dengan membawa misi yang sama namun laluan yang berbeza pada tahun 2009 apabila berjaya menghasilkan rekod berjalan mengundur sejauh 342 km dari Sandakan ke Kota Kinabalu.

Pada tahun 2012 beliau yang ketika itu berusia 50 tahun kembali mencipta nama dengan rekod berjalan sejauh 404 km dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu.

“Apa yang saya lakukan ini bukan untuk mencari populariti, saya mahu buktikan golongan OKU juga mampu mencipta kejayaan. Saya akan buktikan umur juga bukan penghalang untuk kita mencapai satu kejayaan,” katanya.

Edward berkata beliau tidak mempunyai jurulatih dan hanya menjalani latihan sendiri dengan berjalan, berjoging dan berlari di kawasan sekitar kampungnya di Kiulu, Tamparuli sebagai persediaan untuk program itu.

Bapa kepada empat cahaya mata itu mengalami kecacatan melibatkan otot di kaki kanannya sejak berusia sembilan tahun lagi.

– BERNAMA


Pengarang :