Amirudin Shari bersama penjawat awam melakukan senaman regangan selepas merasmikan Bulan Sukan Negara Peringkat Selangor dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB sertai penjawat awam bersenam, sokong Bulan Sukan Negara

SHAH ALAM, 14 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meluangkan masa bersama penjawat awam melakukan senaman regangan sebagai simbolik sokongan pelancaran Bulan Sukan Negara.

Acara senaman regangan itu diketuai kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor (JBSN Selangor) selama tiga minit pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor Dihoskan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat di Auditorium Dewan Jubli Perak, hari ini.

Pelaksanaan Bulan Sukan Negara sepanjang Oktober bertujuan merealisasikan hasrat kerajaan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Amirudin Shari menyempurnakan gimik perasmian Bulan Sukan Negara Peringkat Selangor dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Untuk tahun ini, pelaksanaannya menyasarkan penyertaan seramai lima juta peserta di seluruh negara, manakala satu juta penyertaan diperingkat Selangor.

Sambutan Bulan Sukan Negara peringkat Selangor akan disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pada 20 Oktober di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi.

Baginda turut berkenan untuk menyertai acara Fun Run 10KM, sekali gus ia menjadi simbolik perasmian Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Negeri Selangor 2019.

Terdahulu, Amirudin turut menyampaikan gegantung Garis Panduan Etika Berpakaian Bagi Orang Islam di premis-premis Kerajaan Negeri Selangor.

Garis panduan ini dihasilkan Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 2017 dan telah dilancarkan pada 19 Januari tahun lalu.

Ia bertujuan memberi panduan kepada semua kakitangan Kerajaan bertugas dan orang awam beragama Islam yang berurusan di premis-premis Kerajaan tentang etika berpakaian dianjurkan Islam, bertepatan dengan etika serta moral masyarakat.


Pengarang :