Sidang akhbar berkenaan kakitangan PKNS yang cedera dalam insiden di Turki yang dipindahkan dari KLIA ke Hospital Pakar Avisena pada 23 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Enam kakitangan PKNS bakal jalani rawatan di Hospital Avisena

SHAH ALAM, 23 OKT: Enam kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang cedera dalam kemalangan di Afyonkaranhisar, Turki akan meneruskan sesi rawatan di Hospital Pakar Avisena, Seksyen 14, di sini selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Avisena, Dr Razman Abd Karim berkata semua pesakit kini berada dalam keadaan stabil selepas tiba di hospital sekitar 11.30 malam dan terus menjalani pemeriksaan lanjut.

“Proses membawa pulang semua pesakit berjalan lancar dengan bantuan enam buah ambulans dan pasukan perubatan kami sudah bersedia menunggu di sana (KLIA) untuk memberikan rawatan awal.

“Ketibaan penerbangan juga awal daripada yang dijangkakan iaitu pada 9.20 malam. Ambulans pertama tiba di hospital sekitar 11.10 malam dan yang terakhir pada 11.30 malam.

“Semua pesakit setakat ini berada dalam keadaan stabil. Kami akan memastikan setiap pesakit akan menerima rawatan terbaik sepanjang berada di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama PKNS di Dewan Kayangan, Hospital Pakat Avisena, di sini.

Dr Razman berkata, antara dua daripada enam pesakit itu bakal menjalani pembedahan awal dan rawatan susulan sehingga pulih sepenuhnya.

Dalam sidang media sama, Ketua Pegawai Korporat, Siti Zubaidah Abd Jabbar turut berkongsi pengalaman sepanjang berada di Turki apabila terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 400 kilometer daripada Istanbul untuk melawat semua kakitangan yang ditempatkan di hospital tempatan dan hotel.

“Kita berdepan masalah bahasa dengan anggota kesihatan di sana. Doktor di hospital boleh bercakap dengan bahasa Inggeris asas. Pesakit mempunyai semangat tinggi walaupun ada antara mereka mengalami kecederaan teruk.

“Kita usahakan untuk mempercepatkan proses dokumentasi bagi membolehkan pihak insurans melindungi kos rawatan di sana. Alhamdulillah, kita juga memperoleh kelulusan kesihatan segera untuk melakukan penerbangan daripada Qatar Airways.

“Kebiasaannya kelulusan itu diperoleh sekitar dua atau tiga hari tetapi kita berjaya dalam tempoh 24 jam. Saya berterima kasih kepada semua termasuk yang mendoakan kami dari sini,” katanya.

Pada 16 Oktober lalu, bas yang dinaiki rombongan rakyat Malaysia terbabit dengan kemalangan di Afyonkaranhisar ketika dalam perjalanan ke Pamukkale ke Cappadocia lebih kurang 11 pagi waktu tempatan.

Kemalangan itu mengorbankan seorang kakitangan PKNS, Azalan Miswan yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksen 21, pada 19 Oktober lalu.


Pengarang :