AGENSI SELANGOR

KDEBWM ambil alih pengurusan sisa pepejal di kawasan MBSA tahun depan

SHAH ALAM, 27 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) bakal mengambil alih perkhidmatan pengurusan sampah dan sisa pepejal di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bermula 1 Januari tahun hadapan.

Ia selaras arahan Kerajaan Negeri supaya KDEBWM yang juga syarikat melalui pegangan saham Kumpulan Darul Ehsan itu mengambil alih pengurusan sisa pepejal di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk MBSA.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, proses pengambil alihan perkhidmatan pengurusan sampah itu akan dimuktamadkan menerusi pertemuan yang bakal diadakan bersama pimpinan tertinggi PBT terbabit, Khamis ini.

“Kita sudah membuat persediaan untuk pengambil alihan di PBT terakhir di Selangor yang tertangguh hampir setahun berikutan beberapa isu teknikal, namun kita kena terima hakikat Kerajaan Negeri memutuskan prosesnya dijangka pada 1 Januari tahun hadapan.

“Bagaimanapun, dengan pengalaman kita di 11 PBT sebelum ini, kita akan menggunakan sebaiknya dan membuat persiapan sebaiknya.

“Malah, kita juga sudah memiliki data MBSA untuk olahan selain kelulusan pembelian lori baharu daripada agensi kerajaan termasuk pasukan KDEBWM ditempatkan ke MBSA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Bola Sepak Piala Pengarah Urusan KDEBWM 2019, di Stadium Rhino KV Arena, di sini hari ini.

Ditanya fokus pihaknya selepas proses pengambil alihan selesai di kesemua 12 PBT, Ramli berkata, pihaknya bercadang untuk memperluaskan program kitar semula termasuk menambah baik sistem sedia ada.

Katanya, KDEBWM bukan sahaja mahu menerajui syarikat pengurusan sampah domestik di Selangor, bahkan berhasrat menjadi syarikat terbesar dalam pengurusan barang kitar semula.

“Ini kerana sampah di negeri ini untuk sehari adalah 7,000 tan (domestik) dan 3,000 tan (pukal), jadi sampah dikutip dalam tempoh sehari sebanyak 10,000 tan. Jika dilupuskan di pusat pelupusan, maka tiada nilai tambah yang akan diperolehi daripada sampah terbabit.

“Konsepnya ‘sampah ialah duit’ dan ‘sampah tidak kotor’, kalau boleh buat kitar semula sebagai sumber, saya percaya kita mampu mengumpul lima peratus bagi tujuan kitar semula, seterusnya berjaya mengurangkan sisa sampah di Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya turut berhasrat membangunkan model sistem bagi pengumpulan rekod kutipan sampah kitar semula di setiap PBT.

“Setakat ini tiada PBT yang mempunyai rekod kutipan kitar semula dan jika boleh gunakan model berkenaan, kita mahu mulakan daripada kosong untuk mendapatkan jumlah kutipan.

“Jika Kerajaan Negeri beri arahan dan peluang, kita akan beri usahasama kerana sampah di Selangor tinggi dan tidak boleh diselesaikan dalam masa sehari atau kaedah pelupusan sistem lama.

“Pelbagai teknologi yang ada dengan melihat sistem dan teknik pelupusan sampah di negara luar seperti penghasilan diesel dari plastik serta tenaga dari sampah, malahan kita ingin lihat lebih dari itu untuk bantu Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :