AGENDANASIONAL

Kerajaan seru cipta lebih banyak produk jenama sendiri

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Pengusaha pasar raya besar digalak untuk terus mencipta lebih banyak produk jenama sendiri atau “house brand” yang dilihat mampu memberikan penjimatan harga barangan kepada pengguna sehingga 30 peratus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemampuan pasar raya tempatan menawarkan produk jenama sendiri yang berkualiti boleh membantu pengguna dalam menangani isu kos sara hidup.

“House brand ini penting kerana ia salah satu cara yang boleh menurunkan harga jualan antara 20 ke 30 peratus berbanding harga jenama produk popular…kualiti barangan house brand sebenarnya mampu menandingi kualiti berjenama popular.

“Lebih banyak produk house brand (dalam pasaran) itu lebih menguntungkan pengguna, lebih-lebih lagi buat pengguna yang sangat mementingkan nilai harga dan tidak terlalu obses dengan kesetiaan pada sesebuah jenama,” katanya pada sidang media selepas perasmian TESCO Wangsa Walk, di sini, hari ini.

Beliau turut memuji usaha pasar raya TESCO Malaysia Sdn Bhd yang telah menghasilkan lebih 2,000 barangan house brand berkualiti tinggi dan menyifatkan usaha itu wajar dicontohi dan diikuti pengusaha pasar raya besar yang lain.

Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP), Saifuddin Nasution berkata, beliau akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) mengenai perkara berkaitan pengumpulan data, pelaksanaan mekanisme, implikasi terhadap kewangan dan tempoh pelaksanaan PSP kepada golongan berpendapatan sederhana (M40).

“Saya kira semua aspek ini perlu diperhalusi dan dibincangkan dengan MOF dalam Mesyuarat Kabinet Jumaat ini, hasil perbincangannya nanti kita akan umumkan dari semasa ke semasa. Pada akhirnya, pelaksanaan perlulah dapat dinikmati semua rakyat yang layak memohonnya.

“Malahan saya positif dan yakin tempoh masa dua bulan ini mencukupi untuk kita buat segala persiapan bagi melaksanakan PSP bermula Januari tahun depan,” kata Saifuddin Nasution.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, TESCO Paul Ritchie berkata, pembukaan cawangan yang ke-60 di sini itu mencatat sejarahnya yang tersendiri berbanding 59 cawangannya yang lain kerana keseluruhan tenaga kerjanya terdiri daripada warganegara tempatan selain turut dilengkapi sistem Kaunter Khidmat Sendiri Tanpa Tunai.

“Ini menunjukkan komitmen kami untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan kepada rakyat negara ini, di mana setiap staf diajar setiap kemahiran daripada menguruskan inventori hingga cara penyimpanan stok yang betul.

Cawangan yang berkeluasan 2,000 meter persegi ini lebih kecil berbanding keluasan lebih 3,000 meter persegi di cawangan TESCO yang lain, namun ia masih mampu menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengguna kerana kajian kami menunjukkan pengguna semakin kesuntukan masa untuk membeli barang-barang keperluan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :