PBTSELANGOR

MPSJ tubuh unit peronda berbasikal

OLEH ALIFF HAIKAL

SUBANG JAYA, 4 OKT: Penggunaan basikal akan menggantikan penggunaan motosikal dan berjalan kaki bagi melakukan rondaan di beberapa kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, penggunaan basikal itu adalah usaha MPSJ bagi memudahkan orang awam untuk berurusan dan akan memperluaskan kawasan rondaan bergantung pada lokaliti.

“Sebelum ini, pegawai penguatkuasa MPSJ melakukan rondaan dengan menggunakan motosikal ataupun berjalan kaki, kini MPSJ menggantikan dengan kenderaan yang lebih rendah karbon.

“Unit Berbasikal MPSJ ini ditubuhkan bertujuan untuk melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara rondaan berbasikal serta mewujudkan perkhidmatan perbandaran yang lebih hijau serta mesra rakyat,” katanya.

Majlis Pelancaran Unit Berbasikal Penguatkuasa itu diadakan di Jalan USJ 10/1A, di sini, hari ini.

MPSJ telah memperuntukkan sebanyak RM35,820 bagi pembiayaan kos keseluruhan pembelian basikal tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Puan Michelle Ng Mei Sze dan Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid.

Terdahulu, penubuhan unit berbasikal ini adalah inisiatif MPSJ dalam menyahut seruan menjadi bandar rendah karbon selaras dengan hasrat MPSJ untuk menjadi bandar hijau menjelang 2030.


Pengarang :