EXCOSELANGOR

Pertanian tingkat ekonomi warga kota

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Selangor sedang dalam kerangka menyediakan Manual Model Jaringan Laman Hijau Strata 2.0 bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk di bandar melalui jualan hasil tanaman secara komersial.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, inisiatif dalam fasa ‘fine tune’ itu akan membabitkan peserta yang terdiri daripada penduduk di kawasan perumahan berstrata.

Katanya, beberapa perkara perlu diberikan perincian sebelum pelaksanaannya bermula, khususnya pembabitan daripada pelbagai agensi kerajaan dengan kepakaran masing-masing.

“Misalnya, Jabatan Pertanian daripada aspek khidmat nasihat dan latihan pertanian, manakala Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pula memberi cadangan jenis tanaman yang berpotensi untuk dikomersialkan dengan nilai jualan tinggi.

“Selain itu, pihak berkuasa tempatan akan bertanggungjawab dengan memberikan bantuan teknikal lain di lokaliti masing-masing, sementara Pesuruhjaya Bangunan bertindak selaku pengurusan penduduk dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor sebagai sekretariat utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Inovasi Makanan IN4TEC 2019, di Dewan Pameran Tingkat 4, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Hijrah Selangor, Dato’ Mansor Othman dan wakil IN4TEC, Loke Lee Sah.

Haniza berkata, program penjanaan pendapatan daripada barangan kitar semula yang dikenali Kitar Strata juga akan dijalankan melalui inisiatif model jaringan berkenaan.

Katanya, ia membolehkan penduduk menolak sebahagian caj penyelenggaraan daripada hasil jualan barangan kitar semula kepada Badan Pengurusan Bersama.

“Selain itu, program ini juga secara tidak langsung mendidik penduduk berkaitan pengasingan sampah di peringkat rumah.

“Sekurang-kurangnya hasil pendapatan daripada program kitar semula di kawasan perumahan berstrata dapat menampung untuk membayar caj penyelenggaraan bulanan di pangsapuri masing-masing.

“Faktor utama menyumbang kepada pelbagai masalah di kawasan pangsapuri adalah masalah kutipan caj penyelenggaraan bulanan yang rendah daripada penduduk,” katanya.

Katanya, program berkenaan juga berjaya dilaksanakan di Pangsapuri Kenanga, Gombak Permai, bahkan kini sedang ditiru di 30 pangsapuri kos rendah termasuk sederhana lain di seluruh Selangor.

“Kami sedang membuat pemantauan perkembangannya dan mengumpul data berkaitan bagi dinilai semula untuk perancangan seterusnya,” katanya.


Pengarang :