AGENDANASIONAL

Polis yakin PRK Tanjung Piai berjalan lancar

JOHOR BAHRU, 6 OKT: Polis yakin proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan berjalan dengan lancar, tanpa berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) tersendiri dalam menangani segala situasi.

“Di negeri Johor ini, proses demokrasinya matang, kita dapat lihat. Berbelas-belas kali sudah kita adakan pilihan raya, jadi insya-Allah semuanya akan berjalan dengan lancar,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau ditemui media pada Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 2/2019 kepada 195 orang penerima, terdiri daripada pegawai dan anggota polis yang pernah memberi khidmat serta jasa ketika era pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya.

Sementara itu, ditanya jumlah keanggotaan polis yang akan terlibat proses pilihan raya itu, Abdul Hamid berkata, itu terserah kepada Ketua Polis Negeri untuk menentukannya.

“Saya rasa biasa sahaja (keanggotaan) kerana macam saya katakan tadi, kita tidak menjangkakan apa-apa insiden seperti pertelingkahan akan berlaku.

“Alhamdulillah ia juga tidak jauh dari Johor Bahru (JB), jadi apabila anggota tambahan diperlukan, ia ada dari JB tetapi setakat ini, tiada ada apa-apa arahan spesifik yang menunjukkan keadaan di Tanjung Piai genting,” katanya.

Berhubung isu penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga asing pula, Abdul Hamid berkata, tiada tangkapan baharu dibuat setakat ini.

Bagaimanapun, perbincangan dan kerjasama di antara pihaknya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) masih berjalan dengan rancak bagi menyelesaikan isu itu secara total.

Kerjasama ini termasuklah dalam soal meneliti satu per satu kad pengenalan yang diragui.

“Pihak JPN dan JIM, mereka ada cara-cara tersendiri untuk mengenal pasti tanda sesuatu yang mereka boleh syak. Jadi, mereka ini (polis, JPN dan JIM) aktif berkomunikasi dan berjumpa untuk melakukan siasatan menyeluruh,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :