Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) melihat buku garis panduan kerusi keselamatan kanak-kanak pada majlis Perasmian Minggu Keselamatan Kenderaan dan Pelancaran Mewajibkan Pemakaian Kerusi Keselamatan Kanak-kanak di Akademi Pengangkutan Jalan Melaka pada 23 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

TPM: CRS terap budaya keselamatan dalam masyarakat

MELAKA, 23 OKT: Usaha kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) mulai 1 Januari tahun depan diharap dapat menerap budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif itu dilihat akan mendapat perhatian dan sokongan ibu bapa serta penjaga kerana keselamatan kanak-kanak sepatutnya menjadi keutamaan setiap masa.

“Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab melindungi anak-anak kita terutamanya ketika berada di jalan raya. Menerusi program seperti ini, saya percaya usaha kerajaan mengurangkan kadar nahas di jalan raya dapat mencapai objektifnya,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran mewajibkan penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Makmal Ujian Perlanggaran Miros PC3, di sini, yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kanak-kanak juga terdedah kepada risiko yang tinggi terhadap kecederaan sekiranya terbabit dalam nahas jalan raya kerana fizikal kanak-kanak tidak sama seperti orang dewasa.

Beliau berkata, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana kehilangan nyawa merupakan kerugian kepada negara, apatah lagi daripada golongan yang merupakan harapan bangsa dan negara pada masa hadapan.

Sementara itu, Lokem ketika ditemui pemberita, berkata buat masa ini kerajaan belum memutuskan penalti yang akan dikenakan kepada mereka yang gagal memasang kerusi itu dan penguatkuasaan bermula Januari depan hanya bertujuan mendidik bukan menghukum.

“Kita ingin pupuk kesedaran orang ramai betapa pentingnya penggunaan kerusi ini bagi tujuaan keselamatan, Saya tidak mahu memberikan satu gambaran bahawa kita hendak menghukum sahaja tetapi sebaliknya untuk mendidik rakyat serta memberi kesedaran kepada umum,” katanya.

Katanya, kesedaran ibu bapa tentang kepentingan penggunan kerusi keselamatan kanak-kanak di negara ini masih berada pada tahap rendah iaitu sekitar 36 peratus sahaja.

“Saya telah meminta Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) untuk meningkatkan hebahan agar orang lebih memahami kepentingan penggunan kerusi ini sebagai keselamatan kepada anak-anak mereka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :