Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

WKB2030 misi jamin kehidupan rakyat lebih makmur

OLEH NUR-UL AFIDA KAMALUDIN

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB), yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menjadi penggerak strategik kerajaan dalam merealisasikan matlamat membawa Malaysia menjadi negara yang kompetitif dan maju.

Kemajuan dan pertumbuhan ekonomi secara mampan sepanjang tempoh pelaksanaan wawasan itu kelak menjamin kehidupan rakyat akan terbela dengan menyediakan taraf hidup lebih makmur untuk mereka.

Malah, ini selaras dengan keutamaan dan komitmen kerajaan untuk terus berusaha menyuburkan perpaduan dalam kalangan rakyat selain mengukuhkan kestabilan politik negara.

Keutamaan itu adalah antara tujuh teras strategik WKB yang diperkenalkan kerajaan pada Mei lepas iaitu:

1. Penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara mendorong transformasi ekosistem perniagaan, industri dan usahawan untuk terus seiring dengan Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital dan ekonomi intelek bagi menghasilkan industri nilai tinggi, seterusnya kekal relevan dan memenuhi kehendak ekonomi masa hadapan.

2. Sektor pertumbuhan baharu mengenal pasti dan mempelopori sektor pertumbuhan serta bidang keberhasilan utama baharu melalui pelaburan yang strategik bagi mewujudkan kapasiti Malaysia sebagai negara pengeluar yang mampu mengeluarkan lebih banyak produk sendiri yang bertaraf antarabangsa.

3. Reformasi bakat dan sumber tenaga negara menstruktur semula pembangunan modal insan negara bagi menghasilkan bakat yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi, kompetitif, produktif serta relevan dengan kehendak industri.

4. Memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan memastikan industri beralih kepada pekerjaan dan perkhidmatan bernilai tinggi yang memberi peluang pendapatan yang lebih tinggi kepada pekerja.

5. Memperkukuhkan kesejahteraan sosial merasionalisasi dasar dan program ke arah kesejahteraan sosial yang lebih menyeluruh berdasarkan prinsip memenuhi ekonomi keperluan dengan tujuan membantu membangun keupayaan golongan terpinggir untuk keluar dari kemiskinan relatif.

6. Pembangunan wilayah yang inklusif membangunkan pusat ekonomi yang lebih menyeluruh di seluruh pelosok negara bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diagihkan dengan lebih meluas di samping mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah.

7. Peningkatan modal sosial masyarakat menyokong pembangunan dan pertumbuhan ekonomi melalui pembentukan jati diri masyarakat yang matang, berilmu dan mementingkan perpaduan.

Kekuatan Negara bangsa

Namun, tidak memadai jika sekadar menyenaraikan ‘jiwa’ atau teras WKB2030 tanpa menyelami atau mendalami maksud serta hala tujunya yang akan mengemudi negara bagi memakmurkan kehidupan rakyat ini.

Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, WKB2030 adalah suatu pelan strategik Malaysia ke arah menuju status negara maju dengan mengambil kira pelbagai aspek yang mendukung kekuatan negara bangsa bagi memastikan tiada aspek yang tersisih atau terbelakang.

Beliau melihat langkah memperkenalkan wawasan yang bermatlamat luas itu dapat meningkatkan kemakmuran rakyat menerusi manfaat nilai-nilai sosial dan peradaban dalam kalangan semua kaum dengan berasaskan kepada semangat persefahaman bersama.

“Menerusi wawasan ini, kerajaan perlu memberi perhatian dan memanfaatkan pembinaan jati diri negara bangsa yang bukan berteraskan kepada pencapaian dan kedudukan taraf ekonomi semata-mata tetapi mengambil kira nilai peradaban masyarakat untuk memacu negara dengan lebih komprehensif dan menyeluruh.

“Sehubungan itu, inisiatif perlu digandakan bagi melahirkan masyarakat berperadaban tinggi dan mampu bersaing dalam konteks perkembangan dunia teknologi masa kini dan akan datang tanpa mengorbankan jati diri, patriotisme dan nilai peradaban sejak turun-temurun,” katanya kepada Bernama.

Menganggap wawasan itu sebagai kesinambungan kepada Wawasan 2020 yang diperkenalkan Dr Mahathir sebelum ini, Syed Agil berkata, kerajaan perlu berupaya menjelmakan persekitaran politik, ekonomi dan sosial yang lebih teratur dan kondusif selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan secara kreatif dan inovatif untuk rakyat.

Justeru itu, katanya, usaha perlu diperluas bagi memberi kefahaman menyeluruh mengenai wawasan itu dan manfaatnya kepada rakyat supaya mereka tahu dan sedar apa yang mahu dicapai kerajaan menerusi dasar baharu itu.

“Rakyat memerlukan suatu pelan strategik berasaskan kepada nilai pencapaian realistik yang boleh dijadikan teras pemacuan negara sebagai negara maju suatu hari nanti,” katanya.

Bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, Syed Agil menyarankan kerajaan supaya memperkasakan bidang pembelajaran dan pekerjaan berasaskan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk golongan muda di negara ini.

“Mereka perlu diberikan peluang untuk mencipta cabang-cabang bidang pekerjaan secara kreatif dan inovatif, sejajar dengan perkembangan pesat teknologi maklumat hari ini,” katanya.

Kongsi, manfaat sumber

Mengulas kewujudan jurang pendapatan antara negeri, beliau berkata, masalah itu boleh diatasi sekiranya pencapaian ekonomi mampan di dalam negara boleh dikongsi dengan sebaik-baiknya di semua negeri, dan pada masa sama semua negeri dapat menyumbang sumber tenaga dan sumber asli masing-masing kepada cabang ekonomi besar negara.

“Langkah itu sudah banyak dilakukan di Thailand, Jepun, Korea Selatan dan negara-negara dalam Kesatuan Eropah,” katanya sambil menjelaskan bahawa pengurangan jurang ekonomi di antara negeri dapat menjurus kepada usaha membantu kerajaan mengecilkan jurang ekonomi antara kaum di negara ini.

“Kerajaan boleh menggunakan mekanisme sedia ada dan baharu untuk menilai taraf sara hidup setiap lapisan masyarakat di negara ini. Apa yang lebih penting ialah kesediaan kerajaan memacu strategi untuk membantu mengurangkan jurang taraf sara hidup masyarakat di bandar dan di luar bandar serta mengelakkan kepincangan sosial rentetan daripada jurang sara hidup yang ketara di kawasan-kawasan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan perlu memikirkan strategi penyediaan kemudahan instrastruktur yang lebih kondusif untuk masyarakat seperti mengawal penetapan harga perumahan rakyat serta pengagihan ekonomi lebih menyeluruh dan tidak bertumpu sepenuhnya di kawasan bandar.

Selain itu, usaha perlu dilaksanakan untuk merancakkan pertumbuhan industri perkilangan di luar bandar untuk memberikan lebih banyak peluang pekerjaan serta mengelak kebanjiran penduduk ke kawasan bandar yang akan memberi impak terhadap jurang sara hidup masyarakat, katanya.

Imbangi kemakmuran ekonomi, sosial

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, semua pihak harus menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan WKB2030 yang bertujuan mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat jelata.

Namun, katanya, wawasan itu harus diimbangi dengan kemakmuran sosial yang memberi perhatian kepada perimbangan antara ekonomi dan sosial.

Untuk itu, katanya, mutu pendidikan yang lebih tinggi perlu dicapai oleh semua lapisan masyarakat dengan kerajaan harus memastikan setiap generasi dapat membantu anak-anak mereka mencapai kehidupan yang lebih baik dari segi ekonomi.

“Wawasan ini bukan sahaja satu gagasan kerajaan semasa malah, ia berupa legasi yang ingin dibina untuk rakyat dan negara…(langkah kerajaan mengutamakan kemajuan) ekonomi adalah satu cara pemupukan dan penyuburan perpaduan yang lebih erat lagi utuh,” katanya.

Beliau melihat tumpuan kerajaan untuk merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dan luar bandar sebagai pendekatan yang baik kerana ia akan memastikan khususnya kaum, gender, wilayah geografi dan golongan berusia tidak sesekali dikesampingkan.

Prof Teo turut menyuarakan keyakinannya bahawa WKB2030 yang bersifat inklusif itu boleh mencapai sasaran berikutan seiring dengan dua perancangan ekonomi negara iaitu Rancangan Malaysia Ke-12 (bagi tempoh 2021 hingga 2025) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (bagi tempoh 2026 hingga 2030).

“Apa yang penting dalam hal ini ialah dokumen pelaksanaannya, komitmen jentera kerajaan dan sokongan sektor swasta…(ketiga-tiganya) perlu bergerak seiring dan memastikan kemakmuran bersama ini benar-benar dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara.

– BERNAMA


Pengarang :