AGENDA NASIONAL

58 kelengkapan komunikasi tidak diperakui dirampas – SKMM

CYBERJAYA, 18 NOV: Sebanyak 58 kelengkapan komunikasi tidak diperakui dirampas dalam beberapa serbuan di 12 lokasi di empat negeri antara Julai hingga awal Oktober tahun ini, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Antara kelengkapan komunikasi yang dirampas di Kuala Lumpur, Kedah, Perak dan Pulau Pinang itu ialah antena, signal booster dan repeater, sistem pemancar TV tanpa wayar dan penghantar AV, kotak TV Android, walkie-talkie dan RF Repeater, katanya.

Menurut SKMM dalam kenyataan hari ini, kesemua barang rampasan disita Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diserahkan kepada SKMM untuk tujuan analisis bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

“Usaha membanteras penggunaan atau penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui giat dijalankan ketika ini dan akan diperhebatkan lagi,” menurut SKMM.

Menurut SKMM, 19 kes berkaitan pemilikan atau penjualan kelengkapan komunikasi tidak standard membabitkan 66 pertuduhan telah dibawa ke muka pengadilan antara Januari hingga September tahun ini, yang melibatkan nilai denda berjumlah RM432,000.

Sepanjang 2018 pula, 10 kes membabitkan 15 pertuduhan dibawa ke mahkamah yang kesemua pertuduhan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM55,500, katanya.

Mengingatkan agar membeli dan menggunakan kelengkapan komunikasi yang memaparkan label SKMM sahaja, orang ramai boleh memanfaatkan aplikasi mudah alih Check Your Label atau layari laman https://ecomm.sirim.my bagi kepastian kelengkapan komunikasi yang digunakan adalah sah dan diperakui.

-BERNAMA


Pengarang :