Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang Asiah Hamzah (dua, kanan) menunjukkan buku Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) ketika merasmikan Modul PKJR Sekolah Rendah Peringkat Pahang hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Mohd Nasri Ishak (kanan). – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Advokasi kesedaran bahaya basikal lajak akan libatkan ibu bapa – JKJR

KUANTAN, 5 NOV: Program advokasi kesedaran bahaya penggunaan basikal lajak oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan turut melibatkan golongan ibu bapa dalam usaha membanteras kegiatan itu.

Ketua Pengarahnya Mohd Nasri Ishak berkata penglibatan ibu bapa dalam program itu perlu kerana mereka adalah orang paling dekat berperanan mengawasi pergerakan anak-anak mereka.

“Mereka (ibu bapa) mampu memainkan peranan dalam mempengaruhi anak-anak supaya tidak terjebak dengan aktiviti basikal lajak yang membahayakan nyawa kerana aspek keselamatan basikal itu tidak dipatuhi.

“Program advokasi ini akan diadakan di sekolah dan kawasan perumahan yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan kanak-kanak dan remaja bermain basikal lajak,” katanya.

Mohd Nasri berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Sekolah Rendah Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang di sini, hari ini.

Modul pendidikan itu mula diperkenalkan pada tahun ini, dengan pendedahan aspek keselamatan jalan raya kepada murid diselitkan dalam subjek Bahasa Melayu untuk tempoh dua jam setiap bulan.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa untuk lebih peka dengan perubahan yang dilakukan pada basikal milik anak mereka untuk dijadikan basikal lajak, yang jelas tidak mematuhi undang-undang.

“Penggunaan basikal lajak bukan hanya membahayakan mereka yang menunggangnya, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain kerana berisiko menyebabkan kemalangan yang boleh berakhir dengan kematian,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :