Dr Maszlee Malik. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Aktifkan alumni perkasa sekolah

PUTRAJAYA, 27 NOV: Pihak sekolah perlu mengaktifkan alumni masing-masing untuk memperkasakan sekolah melalui sumbangan bekas pelajar terdiri daripada pemain industri dan golongan profesional, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Selain membantu daripada segi material, alumni juga boleh memberi motivasi dan membuka pemikiran pelajar melalui perkongsian pengalaman yang boleh mencetus cita-cita dan impian di jiwa murid,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta di sini hari ini, Maszlee berkata infrastruktur sekolah yang sempurna melalui sokongan sumbangan pihak industri dan swasta, juga menyumbang kepada usaha menghasilkan kemenjadian murid yang lebih baik.

Kementerian turut mengalu-alukan sektor korporat untuk membiayai aktiviti kokurikulum yang berkaitan dengan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta yang berhubung kait dengan Revolusi Industri 4.0, katanya.

Dalam pada itu, Maszlee berkata bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila pegawai kanan Kementerian Pendidikan menjadi ‘rebutan’ di kementerian lain, dengan memberikan contoh Datuk Jamil Rakon yang dahulunya timbalan ketua setiausaha kementerian itu, kini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

“KPM merupakan sebuah kementerian yang agak besar dan mencabar, bermakna sesiapa dari situ sentiasa jadi rebutan atau perhatian kementerian lain,” katanya mengulas laporan sebuah portal mengenai beberapa pegawai kanan kementerian didakwa membocorkan maklumat kerajaan dan bakal ditukar.

-BERNAMA


Pengarang :