AGENDANASIONAL

Budak lima tahun mangsa rabies keenam mati tahun ini

SHAH ALAM, 8 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kematian seorang kanak-kanak berusia lima tahun akibat wabak rabies sekali gus menjadikan ia kes keenam pada tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa dari Kampung Mambong, Kuching, Sarawak meninggal dunia 2 November lalu semasa dalam rawatan rapi di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Kanak-kanak tersebut kelihatan tidak aktif sejak 13 Oktober 2019 dan mengadu sakit tekak. Pada 15 Oktober 2019, dia mengalami demam dan berkelakuan luar daripada kebiasaan, lalu dibawa ke klinik swasta untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, keadaan mangsa bertambah teruk sebelum dia dibawa pula ke Klinik Kesihatan pada 18 Oktober 2019 dan dirawat sebagai pesakit luar dengan diagnosa Upper Respiratory Tract Infection (URTI).

“Pada 21 Oktober 2019, kanak-kanak itu telah dibawa ke HUS apabila keadaannya semakin lemah.

“Sampel untuk ujian rabies yang telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah disahkan positif rabies pada 6 November 2019 dan KKM nengucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

Beliau berkata, keluarga mendiang memelihara dua ekor anjing di rumah tetapi tidak pernah mendapat vaksinasi anti rabies dan haiwan-haiwan itu juga bebas bergaul dengan anjing liar.

Namun, buat masa ini kedua-dua anjing itu masih hidup dan sihat manakala mendiang tidak pernah mengadu digigit anjing atau haiwan lain.

Noor Hisham berkata, kes rabies terbaru ini telah dimaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan lanjut.

Sejumlah 22 kes termasuk 21 kematian direkodkan sejak pengisytiharan wabak rabies di Sarawak pada 1 Julai 2017 sehingga 6 November 2019.


Pengarang :