Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan (dua kanan) bersama pegawai menunjukkan RM600,000 yang ditemui semula selepas pekerja securiforce mengambil duit daripada beg khas yang membawa wang kutipan harian Hong Leong Bank cawangan Raub ketika sidang media Kes Pecah Amanah Pekerja Securiforce Cawangan Ruab di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Raub, pada 21 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Empat pengawal keselamatan tidak sempat joli RM600,000

KUANTAN, 21 NOV: Empat pengawal keselamatan tidak sempat berjoli dengan wang tunai RM600,000 yang mereka curi apabila ditahan kurang daripada 24 jam selepas melakukan perbuatan itu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, suspek berusia antara 29 hingga 51 tahun diberkas di kediaman mereka sekitar Raub dekat sini pada Jumaat lalu, manakala beg berisi wang tunai RM599,300 ditemukan di sebuah hotel di daerah itu.

Siasatan awal mendapati suspek menggunakan RM700 daripada wang tersebut untuk membayar sewa hotel itu untuk tujuh hari, bagi tujuan ‘tempoh bertenang’ dan turut meminta supaya bilik itu tidak dimasuki sesiapa termasuk pekerja pembersihan sepanjang tempoh tersebut.

Abd Jalil berkata, pada 12 tengah hari Khamis (14 November), suspek diarahkan untuk mengambil wang kutipan harian dari beberapa buah bank sekitar Raub berjumlah RM2.8 juta yang dibahagikan kepada 10 buah beg yang dilengkapi dengan ‘seal’ dan nombor siri untuk dibawa ke peti besi cawangan syarikat keselamatan itu di Raub.

“Mereka kemudiannya diarahkan untuk membawa semua beg itu ke ibu pejabat syarikat keselamatan itu di Kota Damansara, Selangor pada 7.30 petang hari yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) di sini, hari ini.

Abd Jalil berkata, juruaudit pusat pengurusan tunai syarikat keselamatan itu, bagaimanapun mendapati wang di dalam sebuah beg itu berkurangan semasa penyerahan dilakukan, menyebabkan wakil syarikat membuat laporan polis.

Katanya, siasatan mendapati suspek telah berkhidmat dengan syarikat keselamatan itu antara tiga bulan hingga lima tahun dan difahamkan sering diamanahkan untuk menghantar wang ke Kota Damansara.

Semua suspek kini ditahan reman sehingga esok (22 November) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Abd Jalil menasihatkan pihak syarikat keselamatan di Pahang untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tiada kelonggaran yang boleh mengundang kelakuan jenayah.

– BERNAMA


Pengarang :