EXCOSELANGOR

EXCO infrastruktur zahir iltizam atasi isu banjir

SHAH ALAM, 12 NOV: EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim akan memberi komitmen penuh mengatasi masalah banjir yang berlaku di beberapa tempat, di negeri ini.

Katanya, semua lokasi ini akan diberi perhatian, terutamanya kawasan sering banjir seperti Bandar Utama, Ijok, Bukit Melawati, Kota Kemuning dan juga Seri Serdang.

“Oleh itu, fokus Kerajaan Negeri adalah mencari duit, dan melihat rancangan jangka pendek ataupun jangka panjang untuk atasinya secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan usul pada Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Pada 1 November, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menerusi Belanjawan #Selangor2020 mengumumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM84.4 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dalam usaha mengurangkan kejadian banjir yang sering berlaku di negeri ini.

Daripada jumlah itu, RM52.19 juta diperuntuk bagi pembangunan projek tebatan banjir, RM26.84 juta bagi menaiktaraf saliran, RM700,00 bagi pembangunan lembangan sungai dan RM960,000 bagi pembangunan sumber air serta hidrologi.

Sementara RM600,000 lagi diperuntuk untuk program pengurusan saliran mesra alam, RM1.4 juta bagi pembangunan pantai dan RM1.7 juta bagi pembangunan infrastruktur mekanikal dan elektrikal.


Pengarang :