AGENDANASIONAL

Fokus silibus pusat tahfiz selepas aspek fizikal selesai

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada slibus pendidikan yang wajar di pusat tahfiz, selepas semua proses pendaftaran selesai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata langkah itu bagi membolehkan pelajar mempunyai keseimbangan pendidikan, di samping didedah dengan aspek kehidupan lain.

“Inisiatif awal adalah (program) Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia dengan peruntukan RM1.9 juta melalui Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor dan pelajar yang menamatkan pengajian tahfiz boleh ambil SPM.

“Tahun lalu ada kira-kira 200 pelajar dan tahun ini kita sasarkan lebih 200 pelajar. Kita juga ambil guru pakar untuk melatih mereka. Sekurang-kurangnya mereka ada sijil SPM dan boleh melanjutkan pengajian di universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 Peringkat Kebangsaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.

Amirudin berkata setakat ini aspek fizikal lokasi pengajian menjadi keutamaan dengan hampir 90 peratus pusat tahfiz swasta di Selangor sudah mendaftar sejak 2017.

“Pendaftaran itu bukan sahaja mewajibkan melengkapkan asas bangunan tetapi perkara lain seperti pelan, kebenaran pembinaan dan kawalan keselamatan.

“Kita berhubung baik dengan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor bagi memantau perkara itu dan setakat ini hanya ada dua laporan pusat tahifz yang enggan bekerjasama dengan satu daripadanya diarah tutup untuk memastikan premis diduduki itu selamat,” katanya.


Pengarang :