AGENDANASIONAL

Kajian Malaysia akan lenyap tidak gambarkan keadaan banjir

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Kajian Climate Central (Independent Research Organisation) yang menggambarkan bandar utama di Malaysia akan lenyap kerana akan berada di bawah paras laut menjelang 2050 tidak menggambarkan keadaan banjir pantai secara setempat di Malaysia.

Menurut kenyataan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) kaedah yang digunakan dalam hasil kajian yang diterbitkan dalam artikel Nature Communication pada 29 Oktober itu hanya bersesuaian untuk pelaksanaan penilaian secara umum di peringkat global.

“Kaedah analisis itu juga menyebabkan penghasilan maklumat kawasan banjir terlebih anggar dari keadaan sepatutnya untuk kawasan yang dilaporkan.

“Pihak Kementerian menasihatkan orang ramai supaya tidak cemas terhadap dapatan kajian tersebut seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar,” menurut kenyataan itu lagi.

Menurut laporan akhbar tersebut, beberapa bandar utama di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sarawak didakwa bakal ‘lenyap’ kerana akan berada di bawah paras laut menjelang tahun 2050.

Menurut kementerian itu, penghasilan maklumat kawasan banjir terlebih anggar disebabkan kajian menggunakan gabungan data nilai kenaikan aras laut dan kejadian banjir daratan tertinggi yang dijangka berlaku serentak yang memungkinkan kawasan pantai akan ditengelami dan lenyap berbanding kawasan sebenar yang terlibat.

Selain itu, disebabkan kajian berasaskan model topografi yang statik tanpa mengambil faktor-faktor dinamik semasa seperti struktur pelindungan pantai dan tebatan banjir yang tersedia ada dan akan dijalankan oleh KATS melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kata kementerian itu.

“Pendekatan yang betul untuk membuat penilaian tersebut perlu menggunakan pemodelan dinamik dan data setempat yang bukan berasaskan kepada keterdedahan banjir berasaskan kepada ketinggian statik topografi kawasan tersebut semata-mata.

“JPS peka mengenai ancaman peningkatan paras air laut yang memberi kesan amat ketara kepada persisiran pantai negara.

“Ini kerana kenaikan paras laut secara relatifnya meningkatkan kedalaman air laut ketika air pasang serta menyebabkan fenomena ombak besar semasa kejadian ribut berlaku seterusnya meningkatkan frekuensi banjir air laut dan kadar hakisan pantai, ” menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, JPS turut mempunyai perancangan untuk menaik taraf pertahanan pantai bagi menangkis ancaman tersebut dengan menyediakan peta hazard hakisan dan banjir pantai melalui program Pelan Pengurusan Zon Pantai Bersepadu untuk mengurangkan risiko bencana kawasan pesisir pantai negara.

“Pelaksanaan program berkenaan secara berterusan dapat mengelakkan bencana besar seperti yang digambarkan dalam senario kenaikan paras air laut jangka panjang tersebut.

Kajian secara terperinci berhubung kesan perubahan iklim serta kenaikan aras laut melibatkan bandar-bandar di pesisir pantai Malaysia turut dijalankan oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim) selain beberapa langkah pencegahan melalui pelaksanaan projek-projek oleh JPS, menurut kenyataan itu lagi

-BERNAMA


Pengarang :