AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Selangor prihatin angkat martabat institusi tahfiz

SHAH ALAM, 2 NOV: Pengumuman Kerajaan Selangor berhubung peruntukan sebanyak RM237 juta menerusi bidang pendidikan Islam adalah tanda keprihatinan pentadbiran di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa Al-Hafiz berkata, beliau berharap supaya peruntukan bantuan sekolah sebanyak RM10 juta kepada Sekolah Agama Rakyat dan Maahad Tahfiz lebih memfokuskan kepada sekolah persendirian yang sangat memerlukan.

Katanya, bantuan berkenaan juga boleh diperluaskan kegunaannya kepada Program Pemutihan Maahad Tahfiz kerana ianya melibatkan keselamatan, pertukaran syarat tanah dan pelan bangunan institusi terbabit.

“Pada masa sama, kami daripada PITAS amat mengharapkan supaya peruntukan Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia Huffaz dapat disalurkan seawal Januari 2020 bagi mengelakkan kelewatan kelas,” katanya menerusi laman instagram peribadinya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pendidikan Islam Majlis Agama Islam Selangor berkata, keahlian PITAS kini melibatkan 361 maahad tahfiz dengan lebih 2,000 guru serta 20,000 pelajar.

“Kami semua berdoa semoga Selangor terus maju, makmur dan diberkati ALLAH SWT. Semoga doa dan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan para Huffaz setiap hari menurunkan rahmat ke atas Negeri Selangor Darul Ehsan.

“Terima kasih Kerajaan Selangor atas keprihatinan ini,” katanya.

Semalam, Amirudin pada pengumuman Belanjawan #Selangor2020 menyatakan rasa komited untuk memantapkan lagi agenda kemajuan agama Islam menerusi Belanjawan #Selangor2020.

Antara yang terlibat ialah empat institusi pendidikan maahad tahfiz di negeri ini menerima sebanyak RM37.18 juta untuk tujuan pembangunan.

Sementara sebahagian daripada RM26 juta yang disalurkan bagi Bantuan Sekolah Negeri Selangor adalah khusus untuk penambahbaikan infrastruktur sekolah khasnya sekolah agama rakyat.

Amirudin berkata, usaha Kerajaan Negeri untuk menyemarakkan pendidikan Islam adalah berasaskan keinginan untuk membangunkan jiwa-jiwa soleh yang mampu memimpin umran ataupun tamadun.

“Pendidikan Islam seharusnya bagaikan hujan lebat yang menyuburkan tanah buat kita bercucuk tanam bukannya api besar yang membakar hangus manusia dan bumi ini,” katanya.


Pengarang :