Sultan Sharafuddin Idris Shah bersalaman bersama graduan ketika Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Kali ke-43 di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 16 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pemain industri, pakar digesa tingkat keupayaan sekuriti makanan

SERDANG, 16 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa kerajaan, industri mahupun pakar Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk berganding bahu meningkatkan keupayaan bidang sekuriti makanan di negara ini.

Baginda bertitah ia perlu ditingkatkan melalui penggunaan teknologi sistem pertanian pintar yang mampu menjana produktiviti dalam sektor pengeluaran makanan.

“Bidang sekuriti makanan ini harus dibangun bersama secara keutamaan termasuk menyediakan pelaburan atau dana penyelidikan dalam teknologi sistem pertanian.

“Teknologi pertanian ini termasuk kedudukan global (GPS) pertanian, nanoteknologi, robotik, automasi dan pertanian ketepatan berupaya meningkatkan keupayaan serta daya saing pengusaha sektor pertanian,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UPM ke-43, Di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, di sini hari ini.

Sultan Selangor turut bertitah graduan usahawan tani yang dikeluarkan UPM boleh mengaplikasikan amalan terbaik pertanian secara komersial dan berteknologi tinggi.

Justeru, titah baginda universiti berkenaan perlu terus giat mentransformasikan teknologi kepada satu bentuk produk atau pakej bersesuaian yang memenuhi kehendak dan permintaan pasaran.

“Kini, UPM sudah memfailkan lebih 2,700 harta intelek, melesenkan 190 teknologi untuk dikomersial dan menjana jualan kasar pengkomersialan produk melebihi RM60 juta.

“Sebagai contoh, produk REMDII UPM yang bebas steroid sudah dipasarkan di lebih 200 buah farmasi dan klinik di seluruh negara dan ia membantu lebih 10,000 penghidap ekzema, terutama dalam kalangan bayi serta kanak-kanak,” titah baginda.


Pengarang :