Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah ketika Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Kali ke-43 di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 16 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor ucap tahniah UPM lahir atlet bertaraf dunia

SERDANG, 16 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) atas kejayaan melahirkan juara dunia dalam sukan di pelbagai peringkat.

Baginda bertitah atlet terbabit bukan sahaja mengharumkan nama negara, malahan menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa usaha bersungguh-sungguh akan membuahkan hasil.

“Ini sekali gus membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh bersaing hebat pada peringkat antarabangsa.

“Lebih memberangsangkan ialah atlet ini juga adalah duta dan alumni UPM yang menjadi kebanggaan warga universiti,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UPM ke-43, Di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, di sini hari ini.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UPM menggesa graduan untuk berjuang meningkatkan martabat ibu bapa, keluarga dan negara ke peringkat lebih tinggi berdasarkan ilmu yang dipelajari.

Sultan Sharafuddin bertitah graduan harus bersyukur atas nikmat dan kelebihan dimiliki dengan menjauhi perlakuan tidak sopan sehingga mengundang tanggapan negatif masyarakat.

“Graduan perlu menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang negara supaya bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa serta negara.

“Beta juga menggesa graduan supaya meneruskan sinergi dengan alma mater (universiti yang pernah menjadi tempat belajar) UPM sebagai tanda syukur atas pengorbanan dicurahkan warga universiti bagi merealisasikan kejayaan pada hari ini,” titah baginda.

Dalam konvokesyen itu, UPM meraikan 6,015 graduan pelbagai program yang berjaya menamatkan pengajian di universiti berkenaan.

Masing-masing terdiri daripada 632 penerima ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (1,554), ijazah sarjana muda (3,337) dan diploma (492).

Antara atlet negara yang bergraduasi ialah Bibi Nuraisyah Ishak (olahraga), Cheong Jun Hoong (terjun), Navinraj A/L Subramaniam (olahraga), Johnathan Wong Guanjie (menembak) dan Lawrence Petrus (ragbi).

Konvokesyen tahun ini turut menyaksikan Graduan Sulung bagi lima program iaitu empat Sarjana Perubatan Dalaman, Sarjana Perubatan Ortopedik (dua), Sarjana Kejuruteraan Komunikasi (empat), Sarjana Sains Dwi-Ijazah UPM-Kasetsart University (dua) dan Sarjana Muda Sains Pengurusan Perladangan (12).


Pengarang :