Datuk Abdul Rashid Asari mengecat kawasan jeti sebagai salah satu usaha mengindahkan pengkalan jeti nelayan di Kampung Sungai Sireh Tambahan 2, Pelabuhan Klang, di sini. Foto ALIFF HAIKAL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Perangsang Selangor peruntuk RM25,000 indahkan jeti nelayan

OLEH ALIFF HAIKAL

KLANG, 23 NOV: Sejumlah RM25,000 diperuntuk Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) bagi mengindahkan pengkalan jeti nelayan di Kampung Sungai Sireh Tambahan 2, Pelabuhan Klang, di sini.

Pengarah Bersekutu Jabatan Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategiknya, Fauzi Ghazali berkata antara yang dilakukan ialah pembersihan sungai, gotong-royong dan menaik taraf kabin serta surau.

“Perangsang Selangor sentiasa komited memupuk kesedaran dan tanggungjawab orang ramai terhadap kepentingan memelihara alam sekitar terutama di Sungai Klang untuk jangka masa panjang.

“Kita juga menaik taraf kemudahan sedia ada untuk kemudahan penduduk setempat,” katanya kepada SelangorKini pada program berkenaan.

Program khidmat masyarakat membabitkan 150 sukarelawan itu merupakan anjuran bersama Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) di bawah projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Hadir sama EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; Pengurus Besar Operasi KDEBWM, Mohd Idris Mohamed Yusof; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK, Zaireezal Zainuddin dan Pengarah Pembangunan Perniagaan LLSB, Armanudin Abdullah.

Pada program itu, KDEBWM memyumbang 50 pasang sarung tangan, 30 pasang but keselamatan, dua kotak topeng muka, 300 plastik sampah ‘biodegradable’ dan tong roro.

Sementara itu, Abdul Rashid memuji pelaksanaan program berkenaan yang berupaya membangunkan Sungai Klang serta kawasan sekitar secara lestari, sekali gus mewujudkan ekonomi maritim mampan.

“Program seperti ini dapat menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan konsep kitar semula dan penyisihan sisa pepejal dalam rutin harian mereka bagi memastikan alam sekitar sentiasa bersih dan dilindungi,” katanya.


Pengarang :